Hindari dadah berbahaya

Hindari dadah berbahaya

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 15 Okt – Terdapat dua jenis dadah berbahaya yang popular dalam kalangan orang ramai iaitu syabu yang amat senang dan murah untuk didapati, serta ganja yang popular dalam kalangan remaja.

Penolong Pegawai Narkotik II, Biro Kawalan Narkotik (BKN) iaitu Dayang Siti Huraizah binti Abu Bakar turut memberitahu bahawa kebanyakan dadah yang didapati di sini didatangkan dari luar negara dan pos kawalan di Sungai Tujoh menjadi tempat untuk menyeludup masuk dadah-dadah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memata-matai perjalanan, langkah serta aktiviti anak-anak di samping mengawal tingkah laku mereka dengan memberi sepenuh perhatian terhadap apa sahaja yang mereka lalui dalam kehidupan bagi memastikan mereka tidak terjebak dalam gejala sosial yang tidak berfaedah dan berbahaya terutamanya penyalahgunaan dadah.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru ibu bapa memantau barang-barang dalam bilik anak mereka yang disyaki boleh digunakan untuk menyalahgunakan sebarang dadah berkenaan.

Orang ramai melihat jerayawara BKN di Pusat Biodiversiti Tropika, Sungai Liang.
Orang ramai melihat jerayawara BKN di Pusat Biodiversiti Tropika, Sungai Liang.
Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee menerima sumbangan cenderamata daripada Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait.
Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee menerima sumbangan cenderamata daripada Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait.

Beliau membuat saranan ini semasa taklimat Pendidikan Pencegahan Dadah bertajuk ‘Bahaya Penyalahgunaan Dadah’ dalam Program Awasi Anak Kitani yang berlangsung di Pusat Biodiversiti Tropika, Sungai Liang, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Mesyuarat Negara yang juga Pemangku Penghulu Mukim Liang dan Ketua Kampung Lumut I, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad, dan diiringi oleh Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Dayang Noriah binti Haji Abdul Hamid serta Ketua Pusat Biodiversiti Tropika, Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Dayang Haktu binti Mabong.

Dalam taklimatnya itu, Dayang Siti Huraizah turut menasihatkan para ibu bapa dan penjaga supaya melaporkan sebarang kegiatan anak-anak mereka yang mendatangkan kemusykilan dengan menghubungi Hotline 24 jam BKN di talian 8777444. Beliau juga memberikan jaminan bahawa segala maklumat yang diterima oleh orang ramai adalah dirahsiakan oleh BKN.

Program ‘Awasi Anak Kitani’ itu dikendalikan bersama oleh Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Penerangan cawangan Daerah Belait dan Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan dengan kerjasama BKN dan ahli-ahli jawatankuasa Majlis Perundingan Mukim Lumut dan Mukim Bukit Sawat bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang pencegahan dan mengawal anak-anak daripada penyalahgunaan dadah.

Di samping itu, ia juga diadakan untuk memberi maklumat tentang keburukan dadah dan sekali gus mengajar ibu bapa bagaimana menghadapi anak-anak yang telah terjerumus dalam aktiviti tidak sihat ini.

Selain taklimat Pendidikan Pencegahan Dadah, program yang dihadiri oleh kira-kira 120 orang penduduk Kampung Lumut I dan II, Kampung Sungai Mau, Kampung Bukit Sawat, dan Kampung Merangking, itu turut menyaksikan jerayawara daripada BKN.

Orang ramai terutamanya ibu bapa dan penjaga yang ingin mendapatkan maklumat mengenai taklimat seumpamanya bolehlah menghubungi ibu pejabat BKN di talian 2448877, cawangan Tutong (4260011), Kuala Belait (3330335) dan Temburong (5221640) atau hantar e-mel ke alamat www.ncb@narcotics.gov.bn untuk mengetahui mengenai alat-alat yang diguna pakai oleh pengguna dadah.

ARTIKEL YANG SAMA