Hindari gejala judi

Hindari gejala judi

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 5 Feb – Tiap-tiap perkara yang di dalamnya ada beradu nasib atau pertaruhan tidak kira sedikit atau banyak, besar atau kecil, sama ada berunsur permainan atau hiburan dan sebagainya merupakan judi yang diharamkan kepada seluruh umat Islam.

Antara permainan berunsur judi boleh dilihat secara terang-terangan ialah permainan daun terup, loteri, main katam, nombor ekor dan apa sahaja pertaruhan seperti pertandingan sukan, perlumbaan dan seumpamanya, kata khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini.

Pada zaman ini, judi semakin mudah dilakukan melalui Internet sama ada di komputer mahupun telefon bimbit yang ada kalanya seperti permainan biasa, tetapi ada unsur-unsur judi di dalamnya.

Menurut khatib lagi, apa pun jenis pertandingan atau peraduan berbentuk pertaruhan wang atau harta yang disertai oleh umat Islam dan menerima habuan atau keuntungan juga risiko kerugian, sementara pihak yang menang mengambil habuan daripada yang kalah, maka ia dikategorikan sebagai judi.

“Judi ini tanpa kita sedari terdapat banyak dalam pertandingan terutamanya yang mensyaratkan bayaran penyertaan. Contohnya dalam pertandingan sukan, jika hadiah dalam pertandingan tersebut diperoleh daripada bayaran penyertaan para peserta, maka pertandingan itu adalah judi,” kata khatib.

Maka khatib turut menasihatkan umat Islam agar berhati-hati dan peka dengan pertandingan atau peraduan yang mensyaratkan pembayaran kerana ia boleh jatuh kepada perjudian tanpa kita sedari. Selain itu, pihak penganjur yang beragama Islam juga haruslah peka terhadap hukum syarak.

Menurut khatib lagi, perlu difahami bahawa setiap permainan yang berunsur judi di dalamnya mengandungi unsur taruhan (harta atau material) di mana pihak menang berhak mengambil (merampas) harta atau material itu daripada pihak yang kalah.

Secara amnya, terdapat tiga unsur utama judi iaitu pertaruhan harta yang berasal daripada pihak yang berjudi, permainan yang pihak menang dan kalah dan akhir sekali pihak menang mengambil harta daripada pihak yang kalah.

Khatib turut mengingatkan bahawa judi sangat bahaya dan boleh mengancam negara, seterusnya menjadikan umat Islam tercicir daripada landasan betul. Maka umat Islam hendaklah menghindarkan diri daripada terpengaruh dalam kegiatan judi, saran khatib.

ARTIKEL YANG SAMA