Hindari gejala rasuah

Hindari gejala rasuah

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 18 Dis – Agama Islam amat menggalakkan umatnya untuk saling membantu terutama dalam bentuk tenaga, nasihat, teguran dan material seperti sedekah dan sebagainya kerana memberi dengan niat yang ikhlas akan mendapat ganjaran besar daripada Allah S.W.T.

Namun terdapat segelintir orang menyalahgunakan pemberian sehingga menjadi kesalahan di sisi undang-undang, berniat tidak jujur dalam satu-satu pemberian kerana ingin mencapai sesuatu yang dihajatinya sehingga membawa kepada bermulanya jenayah rasuah.

Perkara itu ditekankan Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini, menerangkan bahawa rasuah adalah haram dan termasuk dalam perbuatan memberi atau mengambil harta orang lain dengan cara yang salah.

Menurut Khatib lagi, isu rasuah ini sudah lama berlaku dari sejak zaman Rasulullah S.A.W. lagi apabila Baginda ditawarkan pangkat dan harta agar Baginda menghentikan syiar agama Islam namun Baginda dengan tegas menolak tawaran itu daripada para bangsawan Qura’ish.

Gejala rasuah hanya akan membawa kemusnahan kepada pelakunya, selain risiko ditahan dan mendapat hukuman, malah mereka yang melakukan rasuah akan dibuang kerja, dipandang hina oleh masyarakat serta hasil yang diperoleh dari rasuah adalah tidak halal sehingga boleh menyebabkan seseorang itu tidak masuk syurga, doa dan amalan ditolak, hati menjadi gelap, rosak akhlak dan sebagainya.

Rasuah juga, menurut Khatib lagi, boleh mengancam keselamatan negara, melemahkan kedaulatan undang-undang, menggugat kestabilan ekonomi, mengakibatkan kezaliman dan penindasan, penyelewengan berleluasa, ketidakadilan sehingga akhirnya boleh menyebabkan rakyat hidup menderita dan menjejaskan keamanan dan kemajuan negara.

Gejala rasuah ini boleh sahaja berpunca daripada banyak perkara, antaranya individu yang mempunyai kuasa yang tidak terkawal dan melakukan sesuatu sewenang-wenangnya, pengurusan dalaman yang lemah akibat kepimpinan yang lemah, kurangnya pemantauan, kemahiran melaksanakan tugas dan tanggungjawab, bersikap acuh tak acuh dan peluang untuk melakukan rasuah demi kepentingan diri sendiri.

Khatib turut menasihatkan pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam agar mengamalkan budaya kerja yang sihat dan bersih. Mereka perlu menanamkan sifat integriti yang tinggi yang merangkumi keikhlasan, keterbukaan, ketulusan, amanah, benar, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai dan lain-lain lagi.

ARTIKEL YANG SAMA