Hindari penyakit sendi

Hindari penyakit sendi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept – Dalam usaha untuk menghindari penyakit sendi (osteoartritis) dan juga bersempena dengan Hari Osteoartritis Sedunia yang disambut setiap 20 Oktober, Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) kini menawarkan promosi ‘Bebas daripada Osteoartritis’ bermula 1 sehingga 31 Oktober ini.

Eksekutif Pemasaran JPMC, Dayang Aini Zulfa binti Haji Asbinin, semasa sesi sidang media di Bilik Mesyuarat, JPMC, pagi tadi, menjelaskan, terdapat empat pakej menarik yang akan ditawarkan kepada orang ramai iaitu Pakej Pemeriksaan Sakit Lutut, Pakej Viscosupplementation, Pakej Pemeriksaan Gaut dan Pakej Pemeriksaan Osteoporosis.

Bagi pakej pemeriksaan sakit lutut, jelas Dayang Aini, ia mengandungi dua sesi konsultasi bersama pakar ortopedik, pemeriksaan x-ray bagi sendi lutut dan juga kajian soal selidik, penjagaan diri serta panduan senaman bagi para pelanggan.

Sementara itu, Pakej Viscosupplementation pula merangkumi satu sesi konsultasi bersama pakar ortopedik dan satu prosedur melibatkan suntikan hyaluronate ke dalam sendi lutut yang terjejas akibat osteoartritis yang membentuk satu lapisan pelindung.

Pakej Pemeriksaan Gaut mengandungi satu sesi konsultasi bersama pakar ortopedik, pemeriksaan darah bagi ujian fungsi buah pinggang termasuk asid urik, sodium, potasium, klorida, urea, creatinin, kalsium, fosfat dan bicorbate serta Urine FEME dan akan diberikan risalah maklumat.

(Dari kiri) Dayang Aini Zulfa, Awangku Danny, Dr. Sonali dan Dayang Yong Yee Ching semasa hadir di sidang media.
(Dari kiri) Dayang Aini Zulfa, Awangku Danny, Dr. Sonali dan Dayang Yong Yee Ching semasa hadir di sidang media.

Sementara itu, Pakej Pemeriksaan Osteoporosis pula menawarkan penilaian risiko, dua sesi konsultasi bersama pakar ortopedik, pemerhatian asas, ujian darah bagi mengetahui paras serum kalsium, serum fosfat, serum vitamin D dan fosfat alkalin, ujian Urine Deoxypyridinoline, penilaian CT Scan bagi densiti mineral tulang dan diberikan risalah maklumat.

Sementara itu, Ketua dan Konsultan Jabatan Ortopedik dan Kecederaan Sukan, Dr. Sonali Pande, pula menjelaskan bahawa osteoartritis merupakan penyakit sendi yang biasanya memberi kesan kepada tulang rawan yang rosak dan haus.

Menurutnya, 25 peratus daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas akan mengalami kesakitan yang ketara akibat osteoartritis lutut yang boleh menjejaskan pergerakan, kualiti hidup serta keyakinan para individu.

Beliau menekankan bahawa Asia Tenggara dijangka akan mencapai jumlah 3.25 juta pesakit yang mengalami keretakan osteoartritis menjelang 2050 kerana penyakit ini dikenali sebagai ‘penyakit senyap’ tulang.

Promosi ini juga bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai terhadap penyakit osteoartritis di samping menyediakan penyelesaian dan cara-cara untuk menghindari penyakit ini sebelum ia menjadi lebih teruk.

Dalam kenyataan yang diberikan, tempoh penebusan bagi promosi ini akan bermula pada 1 Oktober sehingga 13 November ini.

Promosi ini disokong oleh Bank Baiduri dan Sanofi, dengan pelanggan akan mendapat diskaun sebanyak 10 peratus semasa membuat pembayaran menggunakan kad kredit Baiduri bagi mana-mana pakej yang ditawarkan.

Untuk menjalani pakej promosi ini juga, satu temu janji perlu diadakan dan para pesakit dinasihatkan untuk datang 15 minit lebih awal. Selain itu juga, bagi pesakit baru, mereka diperlukan untuk membayar $10 di Kaunter Penerimaan Utama, Tingkat 2, JPMC, dengan membawa pasport dan kad pengenalan semasa pendaftaran.

Klinik Ortopedik dibuka untuk khidmat konsultasi bermula Isnin sehingga Jumaat pada jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari dan 1 petang sehingga 5 petang dan Sabtu bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari.

Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Pegawai Kanan Komunikasi Pemasaran Bank Baiduri, Dayang Yong Yee Ching.

ARTIKEL YANG SAMA