Hindari permainan Pokemon Go

Hindari permainan Pokemon Go

Oleh Siti Nur Wasimah S & Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned menyeru agar fenomena permainan Pokemon Go pada masa ini dihindari.

Menurut beliau lagi, wajar bagi pihak-pihak berkenaan dengan keselamatan dan ketenteraman untuk mengambil langkah berjaga-jaga mengelakkan orang ramai dan negara daripada mendapat kesan buruk yang tidak diingini.

Yang Berhormat Pehin membuat seruan ini semasa menyampaikan ceramah khas pada Majlis Ilmu 2016 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan permainan Pokemon Go ini menggunakan rangkaian internet dan GPS (Global Positioning System) yang dilakukan secara berjalan-jalan di tempat yang dikesan ada watak yang dipanggil sebagai karakter Pokemon yang dapat dilihat melalui skrin telefon pintar.

Menurut Yang Berhormat Pehin, cara permainan ini telah menimbulkan persoalan ramai dan rata-rata orang melihat sebagai mengundang kepada bahaya kerana ia boleh dimainkan di mana-mana sahaja tanpa ada batas kawasan termasuk di kawasan-kawasan terkawal atau terlarang dan malah boleh juga dimainkan ketika memandu kenderaan.

Yang Berhormat Pehin (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz ketika menyampaikan ceramahnya.
Yang Berhormat Pehin (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz ketika menyampaikan ceramahnya.

Permainan ini, tekan Yang Berhormat Pehin, jelas turut menyangkut perkara-perkara keselamatan dan ketenteraman dan sejak ia diperkenalkan, ratusan insiden sudah direkodkan antaranya ditembak mati ketika bermain, disaman atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu kerana memburu karakter Pokemon, golongan pekerja berhadapan risiko dipecat oleh majikan kerana asyik bermain Pokemon Go semasa waktu bekerja.

Jelas beliau, tidak diragukan lagi seluruh dunia tidak menafikan bahawa permainan baharu ini boleh mendatangkan mudarat dan ancaman.

“Permainan ini memang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain dan memang tidak mustahil permainan ini dapat digunakan oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan pekerjaan pengintipan atau perisikan.”

Secara amnya, jelas Yang Berhormat Pehin, seluruh dunia sangat rapat dengan telefon pintar kerana manusia menggunakannya untuk berhubung, berurus, berhibur dan bermain semuanya dengan menggunakan telefon pintar.

Oleh itu, Yang Berhormat Pehin menyeru agar para pengguna dapat memperbetulkan cara dan mengelakkan diri daripada sampai ketagihan menggunakan aplikasi alat-alat ini dan agar tidak menyalahgunakan teknologi maklumat dan komunikasi yang kini semakin maju.

Memetik pendapat pakar, Yang Berhormat Pehin menegaskan, ketagihan telefon pintar dan internet boleh berisiko mengalami simptom gangguan mental dan membuang banyak masa.

Menurut satu kajian, golongan belia berumur 18 hingga 25 tahun, menghabiskan lebih dari lima jam sehari melayari internet sahaja. Ini belum termasuk masa menonton televisyen, mendengar radio dan melayani telefon pintar.

“Cuba bayangkan, kalau sudah lima jam dengan internet sahaja, berapa jam pula dengan televisyen, dengan radio dan telefon pintar? Tidak mustahil, total masa yang diambil mungkin sahaja boleh mencapai belasan jam sehari. Selebihnya barulah untuk yang lain-lain.

“Kita bukannya anti kemajuan dan kita juga maklum bahawa mana-mana negara yang menguasai teknologi maklumat dan komunikasi adalah bakal peneraju dunia, tetapi yang kita runsingkan ialah penyalahgunaan teknologi ini.”

Penyalahgunaan itu, kata Yang Berhormat Pehin, setentunya membawa rugi; rugi dunia dan rugi akhirat. Rugi dunia adalah apabila kerananya banyak tersebar keburukan-keburukan dan rugi akhirat pula kalau kita hanya semata-mata mengutamakan hubungan dengan sesama manusia sahaja.