Hindari ubatan untuk atasi obesity

Hindari ubatan untuk atasi obesity

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Kementerian Kesihatan tidak menggalakkan orang ramai untuk menggunakan ubat-ubatan bagi menangani masalah obesiti kerana dikhuatiri dengan menggunakan ubat-ubatan yang tidak terbukti keberkesanannya, ia mungkin akan mendatangkan masalah-masalah yang lain seperti masalah hati dan masalah buah pinggang.

Pihak Kementerian Kesihatan mengambil pendirian atau mementingkan pencegahan daripada rawatan atau penggunaan ubat-ubatan dalam menangani isu obesiti atau berat badan berlebihan.

Pendirian Kementerian Kesihatan itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi ketika menjawab persoalan yang dikemukakan di Majlis Mesyuarat Negara oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Zasia binti Sirin, hari ini.

Mengulas mengenai pemantauan ubat-ubatan berkenaan, beliau berkata bahawa Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan di mana ubat-ubatan yang hendak dibawa atau dijual di Negara Brunei Darussalam, perlu mendapatkan kebenaran di mana ubat-ubatan berkenaan akan diperiksa dari segi keselamatannya atau tuntutan yang dibuatnya seperti mampu menurunkan berat badan.

Di samping itu lagi, beliau juga berkata Jabatan Perkhidmatan Farmasi, melalui unit-unit tertentu turut mengadakan pemantauan lepas pemasaran (post marketing surveillance), dengan menggunakan kaedah penilaian berasaskan risiko (risk based assesment).

Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain.
Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain.

pg01_160318_MMN_LogoYang Berhormat Dato Dr. Haji Zulkarnain sekali lagi menekankan pendirian kementeriannya yang tidak menggalakkan orang ramai menggunakan ubat-ubatan dalam menangani masalah obesiti.

Beliau berkata lagi kalau sekiranya orang ramai ingin memastikan ubat-ubatan berkenaan adalah selamat atau pun ia dibenarkan di Brunei, mereka boleh berhubung dengan pihak Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Farmasi.

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan amat mengalu-alukan usaha pihak akar umbi yang melibatkan penyertaan masyarakat dalam program menggalakkan atau amalan gaya hidup sihat.

Dalam hubungan itu, pihak kementerian bersedia untuk menghulurkan pertolongan kepada mana-mana pihak yang ingin melaksanakan program amalan gaya hidup sihat dengan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata pihak-pihak berkenaan tidak perlu menunggu Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan program atau kegiatan berkenaan tetapi mereka boleh bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan program berkenaan terutama jika program itu datang dari peringkat akar-umbi.

Mengulas mengenai dengan isu nisbah doktor kepada penduduk, Yang Berhormat Dato Dr. Haji Zulkarnain menyatakan memang ia masih belum mencukupi tetapi ia tidak harus menjadi satu alasan untuk tidak dapat memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah yang cemerlang dan terbaik.

“Nisbah doktor daripada data-data yang dikumpulkan pada masa ini, untuk 10 ribu orang penduduk di Brunei, nisbah doktornya ialah 14.4 per sepuluh ribu penduduk, kalau dibandingkan dengan negara jiran, Malaysia 12 per sepuluh ribu, Singapura 19.5 per sepuluh ribu.”

“Jadi kita terpaksa mengejar lagi sedikit, walau bagaimanapun ia bukan menjadi satu alasan, kita masih boleh memberi perkhidmatan yang cemerlang,” tekan Yang Berhormat Dato Dr. Haji Zulkarnain.

Sementara dari segi nisbah doktor pergigian, Negara Brunei Darussalam mempunyai data yang lebih baik sedikit jika dibandingkan dengan negara-negara jiran di mana nisbahnya ialah 4.2 per sepuluh ribu orang penduduk di mana jika di Malaysia ialah 3.6 per sepuluh ribu penduduk dan Brunei pula ialah 4.1 per sepuluh ribu penduduk.

ARTIKEL YANG SAMA