Hiro juara SmartHeart Purrfect

Hiro juara SmartHeart Purrfect

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Ruang Atrium Airport Mall, Berakas menjadi tumpuan para peminat kucing hari ini yang hadir menyaksikan kira-kira 70 ekor kucing yang bertanding dalam ‘Are You Purrfect’ SmartHeart bagi merangkul pelbagai anugerah dan membawa pulang hadiah-hadiah menarik.

Acara kendalian Perfect Companion Group and Parvati Textiles Centre dan dibantu oleh Care and Actions for Strays (CAS) itu, merupakan pertandingan kucing yang terbesar pada tahun ini, di mana pencinta kucing seluruh negara telah datang untuk menyaksikan kucing-kucing yang sihat lagi terbaik.

Pemeriksaan dan pra-penghakiman telah dijalankan sejak jam 9:30 pagi lagi hingga 5 petang tadi dan selain itu juga perjumpaan dengan pakar kucing dan khidmat nasihat mengenai dandanan telah diadakan secara percuma kepada pemilik-pemilik kucing pada acara berkenaan.

Acara tahunan yang diadakan buat kali ketiga ini lebih menekankan aspek kesihatan kucing, berbanding dari tahun-tahun sebelumnya yang memfokuskan kepada sudut keunikan.

Juara SmartHeart Purrfect ketika menerima hadiah di tempat pertama.
Juara SmartHeart Purrfect ketika menerima hadiah di tempat pertama.

Juara dirangkul oleh kucing bernama Hiro yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai $700 berserta baucar SmartHeart bernilai $300, manakala tempat kedua dimenangi oleh Mitchy Bells yang menerima hadiah wang tunai $300 berserta baucar SmartHeart bernilai $200, dan Cherry Tarquin di tempat ketiga menerima hadiah wang tunai $200 dan juga baucar SmartHeart bernilai $200.

Hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Nash Naknakled dari Perfect Companion Group dan Hemant Punjabi dari Parvati Textiles Centre.

Semasa pertandingan itu, kucing-kucing yang terpilih turut menerima anugerah-anugerah kecil seperti ‘People’s Choice’, ‘Face-book Celebrity’, ‘Most Photogenic’ dan ‘Best in Costume’.

ARTIKEL YANG SAMA