HIV, sifilis: Asia Pasifik capai kemajuan

HIV, sifilis: Asia Pasifik capai kemajuan

BANGKOK, 14 Sept (Bernama) – Rantau Asia Pasifik telah mencapai kemajuan ketara dalam usaha menghapuskan HIV dan sifilis, namun ribuan ibu dan kanak-kanak masih belum merasai manfaat itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jangkitan baharu HIV di kalangan kanak-kanak telah menurun hampir satu pertiga dari 2000 hingga 2014 dan lebih banyak wanita mengandung yang menghidap HIV sedang didiagnosis dan dirawat berbanding sebelum ini, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Peratusan bagi ibu mengandung positif HIV yang menerima rawatan lebih daripada dua kali lipat ganda antara tahun 2010 dan 2014, kata kenyataan itu namun kadar jangkitan masih meningkat di sesetengah negara, katanya.

Jika tidak dirawat, wanita positif HIV mempunyai peluang sehingga 45 peratus memindahkan virus itu kepada anak-anak mereka.

Menurut laporan Program HIV/AIDS Bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAIDS) “How AIDS Changed Everything”, (Bagaimana AIDS Mengubah Segala-galanya) baru-baru ini, terdapat 21,000 jangkitan baharu dalam kalangan kanak-kanak di rantau Asia Pasifik pada tahun 2014 sahaja – iaitu purata 57 sehari.

Dengan rawatan yang betul, risiko seorang ibu menyebarkan virus itu berkurangan kepada kira-kira satu peratus.

Ujian dan rawatan sifilis ketinggalan di belakang HIV, baik dalam dasar dan amalan. Dua pertiga daripada negara-negara di rantau ini mengesyorkan ujian sifilis dan sokongan untuk wanita, namun tahap sebenar ujian banyak berbeza. Sifilis boleh menyebabkan komplikasi serius untuk wanita hamil dan bayi belum lahir, termasuk kehilangan awal janin, kematian bayi sewaktu lahir, kematian neonatal, kelahiran dengan berat badan rendah dan jangkitan neonatal yang serius, kata kenyataan itu.

Pemeriksaan kos efektif mudah semasa mengandung diikuti dengan pilihan rawatan berkesan seperti penisilin boleh secara mendadak mengurangkan risiko komplikasi.

“Setiap wanita hamil layak mendapat akses untuk rawatan dan ujian kepada HIV dan sifilis,” kata pengarah bagi wilayah Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr. Shin Young-soo.

Jurang itu akan menjadi kawasan utama perbincangan pada mesyuarat Pasukan Petugas Menghapuskan Jangkitan HIV dan Sifilis Ibu bapa kepada Anak-anak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-10 Asia Pasifik di Beijing, China, minggu ini. Wakil-wakil kanan kerajaan dan pakar-pakar dari 20 buah negara akan meneroka cara-cara untuk menghapuskan jangkitan HIV dan sifilis ibu bapa kepada anak-anak, termasuk meningkatkan kadar pengesanan dan memperkukuhkan pematuhan kepada program rawatan HIV, kata UNICEF.

ARTIKEL YANG SAMA