HK dilanda suhu paling sejuk

HK dilanda suhu paling sejuk

HONG KONG, 24 Jan – Jerempak dingin membelenggu Hong Kong hari ini, dengan penduduk menggigil kesejukan tatkala suhu merosot kepada tahap paling rendah dalam hampir 60 tahun dan fros meliputi kemuncak gunung sebuah bandar yang sudah biasa dengan iklim subtropika.

Pegawai cuaca mengeluarkan satu amaran fros berkata “satu pertambahan suhu sejuk” sedang berkuat kuasa, ditambah dengan angin monsun yang sejuk.

Suhu pagi merosot kepada 3.3 Celsius di kawasan bandar selatan China, di mana kebanyakan bangunan kekurangan pemanas, dan di bawah takat beku di kawasan bukit.

Ia adalah cuaca paling sejuk dalam tempoh 59 tahun, beritahu pegawai kanan saintifik Wong Wai-kin kepada AFP.

“Ia adalah hari paling sejuk sejak 1957. Suhu harian minimum merosot kepada 3.3 darjah Celsius, rekod sebelumnya adalah 2.4 darjah pada Februari 1957,” beritahunya kepada AFP.

Sementara jerempak dingin tidak seteruk seperti yang menjejaskan AS dan sebahagian besar kawasan China, suhu sedemikian adalah sesuatu yang baru untuk kebanyakan penduduk.

“Ia amat sejuk dan berangin di Hong Kong. Orang dinasihatkan supaya memakai pakaian panas dan mengelak terdedah berpanjangan dalam angin sejuk,” demikian menurut satu nota yang disiarkan di laman web kerajaan bandar.

Tatkala suhu merosot, penduduk berkerumun di tempat lebih tinggi dalam usaha mencari fros, menurut penyiar tempatan Cable TV.

“Ia amat sejuk, kaki saya rasa kebas,” beritahu seorang pelawat muda ke Tai Mo Shan, gunung tertinggi di Hong Kong, kepada penyiar.

Gambar serpihan fros juga membanjiri media sosial tetapi ahli kaji cuaca berkata kerpasan adalah “hujan dengan untilan ais kecil” dan bukannya salji.

Kira-kira 20 peserta perlumbaan rentas desa dihantar ke hospital selepas mengalami gejala-gejala yang dikaitkan dengan hipotermia, menurut media tempatan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA