HK mahu tingkatkan hubungan

HK mahu tingkatkan hubungan

Oleh Danial Norjidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Hong Kong mahu melihat lebih banyak syarikat Brunei beroperasi di negara-negara yang menjalankan perniagaan dengan mereka, dan menggunakan Hong Kong sebagai pintu masuk ke negara itu.

Negara itu juga dijangka mempertingkat hubungan dua hala dengan Brunei Darussalam dalam bidang perdagangan, pelancongan, pendidikan, teknologi, pertanian, akuakultur dan pertukaran orang. Ketua Setiausaha Pentadbiran bagi Rantau Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), Yang Berhormat Puan Carrie Lam, berkata demikian ketika bercakap pada satu sidang media di Empire Hotel and Country Club, Jerudong hari ini.

Beliau berkata salah satu matlamat lawatannya ke Brunei adalah untuk mempromosi Hong Kong sebagai sebuah pusat perniagaan dan perkhidmatan kewangan untuk syarikat Brunei yang menimbang menjalankan lebih banyak perniagaan dan melabur di Hong Kong serta menggunakan Hong Kong sebagai pintu masuk ke pasaran China.

“Daripada segi menjalankan lebih banyak perniagaan dengan Hong Kong, buat masa sekarang saya perlu mengaku bahawa jumlah perniagaan adalah sederhana,” kata beliau sambil menjelaskan, pada tahun lalu, jumlah dagangan di antara kedua-dua negara hanya berjumlah AS$28 juta, namun pertumbuhan adalah menggalakkan.

“Dalam tempoh lima tahun lalu, terdapat pertumbuhan purata sebanyak 16 peratus setiap tahun, maka tatkala Brunei mulai mempelbagaikan ekonominya daripada minyak dan gas, dan semakin ramai ahli perniagaan Hong Kong biasa dengan apa yang ditawarkan oleh Brunei, saya berharap kami boleh berkembang berdasarkan asas ini dan menjalankan lebih banyak perniagaan dua hala.

pg03_150728_d

“Sudah tentunya, Hong Kong adalah kukuh dalam beberapa bidang. Salah satunya adalah perkhidmatan kewangan, yang menyumbang kepada 16 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kami, dengan itu, syarikat Brunei adalah dialu-alukan datang ke Hong Kong untuk mengumpul dana untuk mengeluarkan bon, melabur dan sebagainya.

“Kami juga sebuah pusat perdagangan dan logistik yang mantap. Dari Hong Kong anda boleh memasuki pasaran China menerusi pengaturan perkongsian ekonomi yang lebih erat, yang dalam bentuk Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang telah ditandatangani oleh Hong Kong dengan kerajaan China, dan disebabkan tarikan ini, kini kami mempunyai kira-kira 7,600 buah syarikat luar negara yang menubuhkan perniagaan di Hong Kong.

“Maka, seperti yang saya katakan, kami mahu melihat lebih banyak syarikat Brunei yang beroperasi di Hong Kong, menggunakan Hong Kong sebagai pintu masuk dan berniaga dengan Hong Kong.”

Beliau berkata pada 2010 Brunei dan Hong Kong menandatangani satu perjanjian komprehensif mengenai pengelakan membayar cukai berganda.

“Itulah sebabnya kami mempunyai rangka kerja asas untuk membolehkan syarikat daripada kedua-dua pihak melabur dan menjalankan perniagaan di antara satu sama lain,” kata beliau. Selain daripada perspektif perniagaan dan ekonomi, beliau menekankan “aliran orang” sebagai satu faktor yang penting. Ketika satu mesyuarat dengan komuniti perniagaan Brunei pada pagi semalam, beliau menggesa supaya lebih banyak tukaran orang diadakan, dalam bidang seperti pelancongan, pendidikan dan belia.

“Buat masa sekarang, pelancongan di antara Hong Kong dan Brunei adalah amat terhad, namun dengan faktor-faktor seperti pantainya yang indah, tempat dan penduduk, dan disebabkan penduduk Hong Kong suka melancong, ditambah pula dengan penerbangan harian di antara Hong Kong dan Brunei, setentunya akan timbul lebih banyak peluang untuk mempromosi pelancongan.”

Beliau berkata lebih banyak promosi diperlukan untuk mempertingkat pelancongan di antara kedua-dua negara.

“Sejak kami mempunyai penerbangan terus ini, saya percaya kami boleh melakukan lebih banyak promosi di sini dan Brunei boleh melakukan lebih banyak promosi di Hong Kong mengenai apa yang boleh ditawarkan oleh mereka.” Berhubung topik tukaran orang, beliau berkata, “Saya tahu bahawa rakyat Brunei amat mementingkan pendidikan untuk anak mereka, dan ramai anak mereka dihantar ke luar negara untuk belajar pada peringkat sekolah menengah dan universiti, dan Hong Kong mempunyai banyak yang ditawarkan dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan untuk orang muda di Brunei.

Di antara universiti yang merupakan antara 100 institusi teratas kelas dunia, dua terletak di Hong Kong. Kami juga menawarkan latihan selepas tamat sekolah menengah dari segi diploma lebih tinggi, pendidikan profesional dan sebagainya.”

ARTIKEL YANG SAMA