HKN platform terbaik perkenal produk koperasi Sabah

HKN platform terbaik perkenal produk koperasi Sabah

KOTA KINABALU, 4 Ogos – Hari Koperasi Negara (HKN) menjadi platform terbaik gerakan koperasi di negeri ini untuk memperkenalkan produk serta perkhidmatan masing-masing kepada masyarakat umum, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Seri Yahya Hussin. Beliau berkata selain itu promosi HKN peringkat negeri yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 12 Ogos ini mampu mewujudkan jaringan perniagaan dalam kalangan koperasi dan usahawan, sekali gus mempromosikan konsep berkoperasi sebagai kesatuan serta institusi keusahawanan.

“HKN juga memberi pengiktirafan terhadap kejayaan sektor koperasi kepada masyarakat serta sumbangan dan peranan mereka (koperasi) dalam pembangunan sosioekonomi negara.

“Terdapat lima kategori anugerah akan disampaikan pada majlis perasmian program berkenaan iaitu Anugerah Koperasi Terbaik Negeri bagi Perkhidmatan Kewangan; Pemborongan dan Peruncitan; Pelancongan; Penjagaan Diri dan Kesihatan; serta Perladangan dan Koperasi Sekolah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata sambutan HKN yang akan diadakan di Centre Atrium One Borneo Hypermall itu turut dijalankan serentak dengan pelancaran Program Francais Komuniti (PFK) dengan kerjasama kementeriannya bersama Ke-menterian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.

Yahya berkata PFK bertujuan untuk mempromosikan bidang keusahawanan berkonsepkan francais kepada masyarakat, selain memberi peluang koperasi untuk mendapat maklumat tentang peluang perniagaan berkonsep francais sebagai bidang perniagaan baru.

Selain itu, katanya program PFK yang diperkenalkan sejak 2011 bertujuan untuk memberi keutamaan, peluang dan galakan kepada usahawan tempatan khususnya golongan berpendapatan rendah untuk menceburi perniagaan francais bagi menambah pendapatan sampingan.

Mengulas lanjut, Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata program berkenaan akan dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan dijangka seramai 1,000 hingga 3,000 pengunjung hadir.

“Bagi memeriahkan sambutan itu pelbagai program akan diadakan termasuk ekspo dan jualan produk koperasi Malaysia, khidmat nasihat oleh agensi kerajaan/koperasi/francaisor serta demonstrasi produk oleh koperasi dan syarikat,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA