Ho Chi Minh tingkatkan pencegahan virus Zika

Ho Chi Minh tingkatkan pencegahan virus Zika

BANDAR HO CHI MINH, 2 Feb – Bandar Ho Chi Minh di Vietnam sedang mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak virus Zika daripada merebak ke negara itu, agensi berita China Xinhua melapor sebuah pusat kuarantin tempatan sebagai berkata hari ini.

Menurut Pusat Kuarantin Perubatan Antarabangsa, lapangan terbang antarabangsa Tan Son Nhat sedang mengambil suhu badan penumpang seperti yang dilakukannya di tengah wabak Ebola di Afrika.

Pusat itu juga menyembur bahan kimia untuk menghapus nyamuk di lapangan terbang.

Kementerian Kesihatan Vietnam telah mengumumkan negara itu setakat ini tidak mempunyai sebarang kes jangkitan Zika, namun masih mempergiat langkah pencegahan untuk menghalang virus daripada menyeberangi sempadannya.

Kementerian telah mencadangkan pihak berkuasa perbandaran dan wilayah dan pusat ubat pencegahan di seluruh negara untuk menjalankan kuarantin perubatan di sempadan, mengesan kes disyaki dengan awam dan menghapus tempat pembiakan nyamuk Aedes di masyarakat tempatan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA