HoB sokong pembangunan ekonomi

HoB sokong pembangunan ekonomi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Sept – Sudah tiba masanya bagi inisiatif Nadi Borneo (HoB) menekankan betapa perlu baginya untuk menyokong pembangunan ekonomi negara-negara anggota HoB.

Dalam hubungan itu, adalah penting usaha dilaksanakan untuk menyahut seruan daripada menteri-menteri yang bertanggungjawab untuk inisiatif HoB menggalakkan aplikasi ekonomi hijau dan pembangunan berhubung saintifik dan teknologi menerusi pelbagai kaedah seperti kerjasama awam swasta (PPP) dan kerjasama pelbagai sektor ke arah mencapai pembangunan mapan.

Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Haji Abdul Manaf bin Metussin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tiga Hala HoB Ke-10 di kementerian berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, sektor ekopelancongan dan bio industri mempunyai potensi yang tinggi dan dalam konteks itu, sektor swasta dialu-alukan untuk melabur dalam sektor berkenaan.

Penstrukturan dan penamaan semula kementeriannya kepada Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan mencerminkan tumpuan kepada sektor pelancongan. Oleh itu, pembangunan ekopelancongan dalam inisiatif HoB amat relevan.

Dr. Haji Abdul Manaf menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tiga Hala HoB ke-10.
Dr. Haji Abdul Manaf menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tiga Hala HoB ke-10.

Beliau menerangkan bahawa pelancaran pakej-pakej destinasi Temburong baru-baru ini yang merangkumi elemen ekopelancongan merupakan bukti kepada komitmen berkenaan.

“Pakej-pakej ekopelancongan bersama di dalam kawasan HoB terutama dalam inisiatif koridor HoB boleh diterokai dengan lebih lanjut dalam mesyuarat ini,” jelas Dr. Haji Abdul Manaf lagi.

Sementara itu, berhubung dengan bio industri, beliau berkata melalui perkembangan sains dan teknologi, sumber-sumber kaya biologi Borneo sedia ada di kawasan hutan yang dilindungi mempunyai potensi untuk bertindak sebagai sebuah lagi enjin pembangunan ekonomi.

Mengulas mengenai sumbangan Negara Brunei Darussalam dalam inisiatif HoB, Dr Haji Abdul Manaf berkata ia merupakan sumbangan negara kepada komuniti global dan isu semasa global diversiti biologi dan perubahan iklim yang menjadi kebimbangan turut dibincangkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dr. Haji Abdul Manaf melihat pameran pada majlis berkenaan.
Dr. Haji Abdul Manaf melihat pameran pada majlis berkenaan.

Ia juga, tambah beliau lagi, mencerminkan sokongan penuh dan komitmen negara kepada inisiatif dan perjanjian kebangsaan, serantau dan global sedia ada termasuk Forum Hutan PBB (UNFF), Konvensyen Kepelbagaian Biodiversity PBB (UNCBD), Rangka Kerja Konvensyen PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dan pelbagai perjanjian alam sekitar antarabangsa yang berkaitan.

Menurut beliau, memandangkan saiz Brunei adalah kecil, inisiatif perlindungan hutan Borneo yang lebih efektif memerlukan usaha bersama dan sehubungan itu, idea bagi penubuhan inisiatif koridor HoB yang menghubungkan fungsi ekologi bagi kawasan-kawasan yang dilindungi di dalam negara-negara anggota inisiatif HoB amat dialu-alukan.

Mesyuarat tiga hala yang dihadiri oleh delegasi dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia itu diadakan selama tiga hari bermula hari ini hingga 7 September untuk membincangkan perkembangan terkini dalam pelaksanaan inisiatif pemuliharaan alam semula jadi di tiga buah negara itu.

Mesyuarat itu juga merupakan usaha untuk melibatkan semua sektor yang berkenaan untuk terus bekerjasama dalam memasukkan perlindungan hutan dan ekosistem ke dalam agenda pembangunan ekonomi masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA