Hobi memelihara kucing didik rasa kasih sayang

Hobi memelihara kucing didik rasa kasih sayang

Oleh Haniq Raffael

 

SEBAGAI seorang pencinta kucing, penulis merasakan ia adalah satu perkara yang begitu istimewa. Bagi mereka yang tidak suka dan geli dengan kucing akan beranggapan bahawa hal-hal sebegini mungkin satu perkara atau hobi yang berlebihan. Namun bagi seorang pencinta kucing, ia adalah perkara sebaliknya. Pencinta kucing bukanlah mereka yang cuma menyukai kucing-kucing mahal tetapi mereka merupakan pencinta kucing tanpa adanya rasa diskriminasi terhadap binatang peliharaan mereka tak kiralah jenis, harga ataupun keadaan fizikal kucing tersebut.

Baru-baru ini penulis sempat secara ringkas bertanya dan berbual bersama beberapa pencinta kucing semasa berlangsungnya pertandingan kucing di Airport Mall, Berakas dan meminta mereka memberikan pendapat mereka mengenai kucing makhluk haiwan yang begitu comel dan setentunya binatang peliharaan yang mendapat tempat di hati para pencinta kucing di negara ini.

Bersama pencinta kucing

“Inilah salah satu keistimewaan memiliki kucing peliharaan di rumah. Mereka bukan hanya seekor haiwan bahkan kucing-kucing ini mampu menjadi penghibur pada saat lelah. Walaupun tidak mampu berkomunikasi secara verbal dengan mereka, namun kita sebagai pencinta kucing menemukan cara kita sendiri untuk berkomunikasi dengan peliharaan kesa-yangan. Ketika sendirian di rumah bersama haiwan peliharaan pun rasanya seperti ditemani oleh seorang kawan atau sahabat”. – Rozaini bin Haji Lamit bersama Tommy yang berusia empat tahun.

“Ketika saya meninggalkan Thunder kucing kesayangan saya sendirian di rumah, ada rasa sedih dan bersalah yang datang. Saya pasti akan khawatir apakah dia akan baik-baik saja berada sendirian di rumah. Meninggalkan makanan yang cukup pun sering kali tak mampu mengubati rasa khawatir  dan bimbang saya bahkan ada kalanya  terasa untuk membawanya bersama ke mana pun saya pergi bersama ayah dan ibu”. – Sharmeen binti Mohammad Mharvin bersama si Thunder miliknya.

Thunder bersama dengan tuannya, Dayang Sharmeen binti Mohammad Marvin.
Thunder bersama dengan tuannya, Dayang Sharmeen binti Mohammad Marvin.
Kat bersama dengan tuannya, Dayang Ina binti Yahya.
Kat bersama dengan tuannya, Dayang Ina binti Yahya.
Panda bersama dengan tuannya, Awang Safuan bin Armanshah.
Panda bersama dengan tuannya, Awang Safuan bin Armanshah.

“Robin  adalah kucing yang cukup comel. Telatahnya yang nakal dan manja amat mencuit hati. Jadi kehadiran kucing bukan sahaja sebagai binatang peliharaan yang mengisi kekosongan jiwa kita tetapi juga sebagai wadah untuk menuai ganjaran pahala daripada Allah SWT, bahkan menyantuni kucing bukan hanya perbuatan kosong tapi amat besar nilainya di sisi Allah”. – Mohd Azim bin Abdul Majid dan Robin miliknya.

“Bagi saya memelihara binatang kesayangan seperti kucing merupakan suatu terapi emosi yang sangat baik lebih-lebih lagi bila kita memelihara seekor kucing. Seperti diri saya dan keluarga Samba iaitu nama kucing kami adalah teman yang setia dan kita tidak akan merasa sunyi apabila melayan karenahnya malahan mencintai seekor kucing sepertinya memiliki seorang sahabat yang baik”. – Mahdini bin Mohd Yussap bersama Samba.

“Pada pendapat saya memelihara kucing dapat mendidik  diri kita dan juga anak-anak untuk belajar erti bersimpati, menghormati pendapat dan perasaan orang lain serta bertimbang rasa. Bahkan anak-anak yang menjaga haiwan peliharaan dari kecil dilihat lebih berkeyakinan diri, pandai berkongsi dan bijak bekerjasama”. – Sharimawati binti Haji Sharbini bersama Glafira satu-satunya kucing jenis Somali yang ada di Brunei.

“Memelihara seekor kucing banyak keistimewaannya, kerana ianya bukan hanya seekor haiwan atau kucing yang mampu menjadi sahabat setia kepada kita tetapi sebenarnya dari segi kesihatan juga kucing merupakan haiwan yang boleh digunakan dalam merawat pesakit yang menghidapi trauma. Kanak-kanak autisme juga didapati memberi respons yang positif dalam sesi terapi dengan kucing”. – Amalina binti Amrinal bersama Grey.

Bung bersama dengan tuannya, Dayang Hanita binti Lakat.
Bung bersama dengan tuannya, Dayang Hanita binti Lakat.
Sammy bersama kucingnya Adam Samuel.
Sammy bersama kucingnya Adam Samuel.
Robin bersama dengan tuannya, Awang Mohd Azim bin Abdul Majid.
Robin bersama dengan tuannya, Awang Mohd Azim bin Abdul Majid.

“Haiwan dan tumbuhan itu kan makhluk Allah yang paling reda pada ketetapan hidupnya dan paling kenal siapa tuannya dan di sini saya belajar suatu yang bermakna dari kucing saya bernama Shabby, iaitu kesetiaan kepada seseorang sebagaimana setianya Shabby kucing kesayangan saya kepada tuannya”. – Mohd Wafi bin Haji Nairulnawar pemilik kucing bernama Shabby.

“Bagi saya memelihara kucing sebagai binatang kesayangan amat istimewa malah kucing merupakan haiwan yang menyayangi tuannya tanpa syarat. Bila kucing dijaga dari kecil, ianya akan lebih mengenali siapa tuannya kerana kita sebagai penjaga kepada kucing peliharaan kita yang sering memberikannya makan secara tidak langsung turut melatih untuk mendisiplinkan diri dan membentuk kita untuk bersifat bertanggungjawab”. – Safuan bin Armanshah bersama Panda.

“Dengan adanya komitmen terhadap kucing mengajar kita erti berkongsi. Rezeki yang Allah SWT anugerahkan itu harus dikongsi dengan yang lain, makan minum, rezeki kasih sayang dan rezeki tempat tinggal; kongsilah dengan niat bersedekah pada si comel. Jadikan latihan setiap hari untuk bermurah hati kepada kucing. InsyaAllah lambat laun kita akan berjaya memiliki sifat bermurah hati kepada manusia juga”. – Sammy dan kucing beliau Adam Samuel.

“Mempunyai dan memelihara kucing merupakan satu aktiviti yang menyihatkan kerana dengan memelihara kucing ianya mendidik kita untuk bersifat berbelas kasihan, lembut hati dan sudi berkongsi kegembiraan”. – Ina binti Yahya bersama si comelnya Kat.

“Bung merupakan salah seekor kucing milik saya yang kurang sifatnya kerana tidak mempunyai sebalah matanya, namun memiliki Bung dan memeliharanya mampu mengajar saya untuk lebih menerima apa jua kekurangannya bahkan Bung adalah seekor kucing yang ceria walau tidak sesempurna mana pun ianya”. – Hanita binti Lakat dan Bung yang sentiasa ceria.

ARTIKEL YANG SAMA