Hodgson cabar Sturridge

Hodgson cabar Sturridge

LONDON, 29 Mac (AFP) – Pengendali England, Roy Hodgson mencabar penyerang, Liverpool Daniel Sturridge untuk menggunakan aksi persahabatan bertemu Belanda sebagai medan membuktikan kemampuannya berada dalam kesebelasan utama.

Sturridge, 26, disenarai dalam kesebelasan utama Hodgson ketika Piala Dunia 2014 di Brazil, namun terlepas posisi berkenaan ketika kempen kelayakan Euro 2016 akibat siri kecederaan dialaminya.

Sementara itu, Danny Welbeck, Harry Kane dan Jamie Vardy semakin menyerlah dalam ketajaman di depan gawang dan Hodgson memberi amaran kepada Sturridge yang dia tidak akan mendapat kembali tempatnya jika gagal membuktikan kemampuannya.

“Banyak yang berubah dalam skuad ini dan cara kami akan bermain sejak Piala Dunia,” kata Hodgson. “Kami tidak menilai berdasarkan prestasi lalu. Apa yang dia lakukan untuk Liverpool, bagi kami dalam latihan dan bersama kami (dalam perlawanan), itu yang menjadi penentu.

“Situasi ini lebih mengecewakannya berbanding saya. Tetapi dalam tempoh tujuh atau lapan hari dia bersama kami, dia tidak menunjukkan kekecewaan itu. Dia kembali seperti dirinya sebelum ini.”

Roy Hodgson dan Daniel Sturridge semasa sesi latihan pasukan England di Olympiastadion, Berlin pada 25 Mac lalu. – Reuters
Roy Hodgson dan Daniel Sturridge semasa sesi latihan pasukan England di Olympiastadion, Berlin pada 25 Mac lalu. – Reuters

England turun berbekalkan keyakinan tinggi selepas kemenangan 3-2 ke atas juara dunia, Jerman di Berlin Sabtu lalu, di mana Kane, Vardy dan Eric Dier bangkit meledak gol selepas ketinggalan 0-2.

Tetapi, ketika persembahan mantap pasukan muda beliau tidak dapat dinafikan, Hodgson berhati-hati menggambarkan potensi mereka sebagai bakal juara Eropah.

“Mereka belum melakukannya lagi dalam kejohanan,” katanya. “Kami masih tidak tahu bagaimana kumpulan muda ini akan melaksanakan dalam keadaan kejohanan menentang pasukan yang lebih berpengalaman seperti Jerman, yang biasa beraksi pada final dan Perancis sebagai negara tuan rumah.

“Namun saya percaya dengan pasukan. Saya percaya kami akan bersedia dan pemain melangkah ke dalam permainan dan mempercayai mereka boleh menang dan boleh melakukannya dengan baik.”

ARTIKEL YANG SAMA