Hodgson gesa Rashford rebut peluang

Hodgson gesa Rashford rebut peluang

LONDON, 17 Mei (AFP) – Pengurus England, Roy Hodgson berkata, Marcus Rashford (gambar) mampu mengikut jejak langkah Dele Alli selepas menamakan penyerang berumur 20 tahun Manchester United itu dalam senarai tidak rasmi skuad Euro 2016, semalam.

Rashford baru tampil dalam skuad senior United pada Februari lalu tetapi berjaya meledak tujuh gol daripada 16 penampilan dalam kesebelasan utama sekali gus berpeluang disenarai dalam skuad akhir kejohanan di Perancis itu.

Alli, 20, bermain bersama kelab divisyen ketiga Milton Keynes Dons pada musim lalu, tetapi bintang Tottenham Hotspur itu kini pemain utama England, yang memberi keyakinan kepada Hodgson untuk mempertaruhkan pemain muda.

Ditanya jika ia “terlampau, terlalu cepat” bagi Rashford, Hodgson menjawab: “Kita lihat. Ia selalunya berisiko, saya rasa. Sebagai alternatifnya kerana anda takutkan bahaya, anda tidak memilih pemain seperti itu.

Britain Soccer England Squad

“Jika saya begitu takut memilih pemain sebegitu, saya berkemungkinan terlepas beberapa pemain yang betul-betul bagus. Saya berfikir terutamanya Dele Alli, tetapi saya rasa ia juga termaktub buat pemain seperti Danny Rose, dan (Eric) Dier serta Jamie Vardy.

“Jika anda ingat, Jamie Vardy kini menjadi bualan ramai, tetapi dia bukanlah seperti setahun yang lalu pada Jun di mana saya memilihnya. Kemudian dia melakukan kejutan besar.”

Hodgson berkata kepada media di Wembley selepas menamakan skuad tidak rasmi seramai 26 pemain, sebelum dia perlu mengurangkannya kepada 23 pemain pada penghujung bulan ini.

ARTIKEL YANG SAMA