Hodgson tangguh umum skuad Euro

Hodgson tangguh umum skuad Euro

LONDON, 11 Mei (AFP) – Pengurus England, Roy Hodgson mengumumkan penangguhan senarai penamaan skuad kebangsaan England bagi mengharungi kempen Euro 2016 kepada Isnin ini.

Hodgson dijadualkan mendedahkan senarai 23 pemain ke Euro 2016 di Perancis di Stadium Wembley, esok namun memutuskan untuk membuat pengumuman itu pada 16 Mei menyusuli pertemuannya dengan Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) dan staf kejurulatihannya.

Pengurus itu akan menggunakan tempoh penangguhan berkenaan untuk melihat tahap kecergasan pemain-pemainnya selepas perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung, hujung minggu ini.

Tahap kecergasan beberapa pemain utama England ketika ini masih dipersoalkan berikutan masalah kecederaan.

Antaranya ialah penyerang Arsenal, Danny Welbeck yang mengharungi kecederaan lutut manakala rakan sepasukannya, Jack Wilshere hanya beraksi selasa 72 minit musim ini selepas turut dihimpit masalah kecederaan panjang.

Hodgson akan mengumumkan barisan skuad Euro 2016 England Isnin depan. – AFP
Hodgson akan mengumumkan barisan skuad Euro 2016 England Isnin depan. – AFP

Kapten Liverpool, Jordan Henderson juga baru saja kembali ke kem latihan selepas kecederaan ligamen lutut bulan lalu.

Begitupun, pemain muda Arsenal, Alex Oxlade-Chamberlain akan terlepas aksi di pentas benua itu selepas baru memperoleh kecederaan lutut.

England dijadual bertemu Turki di Manchester pada 22 Mei ini dan bertemu Australia, lima hari kemudian di Stadium of Light diikuti aksi dengan Portugal di Wembley pada 2 Jun yang menjadi aksi pemanas badan sebelum Euro 2016.

Skuad bimbingan Hodgson diundi bersama Rusia, Wales dan Slovakia dalam Kumpulan B.

ARTIKEL YANG SAMA