Hodgson tetap bangga dengan anak didiknya

Hodgson tetap bangga dengan anak didiknya

UEFA-Euro-2016-Logo

SAINT-ETIENNE, Perancis, 21 Jun (AFP) – Pengurus England, Roy Hodgson memuji prestasi ditunjukkan skuad bimbingannya ketika menentang Slovakia biarpun keputusan berkesudahan seri tanpa jaringan dalam aksi terakhir Kumpulan B Euro 2016, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan The Three Lions sekadar muncul naib juara Kumpulan B manakala Wales yang menewaskan Russia 3-0 mara ke pusingan 16 terbaik sebagai juara kumpulan.

“Saya perlu katakan, saya tidak fikir kami boleh melakukan yang lebih daripada apa yang sudah kami lakukan – kami mendominasi perlawanan sejak daripada mula sehingga tamat selain mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol.

“Saya tidak boleh menyalahkan pemain selepas usaha serta kerja keras yang mereka tunjukkan,” kata Hodgson yang melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utama England bagi pertemuan dengan Slovakia di Stadium Geoffroy Guichard.

Hodgson berkata dia langsung tidak jangka anak buahnya dapat menguasai semua ketiga-tiga perlawanan sepanjang saingan Kumpulan B.

“Kami sudah bermain tiga perlawanan sekarang dan setiap satunya menyaksikan menyerang melawan bertahan. Saya sebenarnya tidak jangka akan melihat pasukan England mendominasi semua tiga perlawanan kumpulan pada Euro kali ini. Dengan apa yang kami capai setakat ini, saya berpuas hati.

“Saya pasti, satu hari nanti kami akan membuktikan kepada semua, jika kami terus mendominasi dan mencipta peluang seperti itu, kami akan menjaringkan gol,” katanya.