Hodgson tetap rendah diri

Hodgson tetap rendah diri

BERLIN, 27 Mac (AFP) – Roy Hodgson menegaskan England masih dalam pembikinan, tetapi penjaring gol Harry Kane menyifatkan ia sebagai ‘malam istimewa’ buat skuad Three Lions selepas bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan 3-2 ke atas Jerman.

Toni Kroos dan Mario Gomez meletakkan juara dunia itu mendahului 2-0 di Stadium Olimpik Berlin pada awal pagi tadi dengan satu jam berlalu sebelum permainan memihak kepada England.

Skuad Three Lions mengaum penuh semangat apabila bangkit dengan tiga gol menerusi Kane dan Jamie Vardy, sebelum Eric Dier menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-91 untuk mengejutkan juara Piala Dunia itu.

“Adalah penting untuk tetap merendah diri pada saat ini. Perjalanan kami masih jauh sebelum boleh menjadi seperti Jerman, selepas melihat apa yang mereka capai dalam beberapa tahun lalu,” kata pengurus England itu.

“Tetapi ia adalah persembahan yang baik dan kami boleh berbangga dan menjadikannya sebagai pemangkin semangat.

“Ia adalah baik untuk melihat pemain kembali beraksi dengan cara mereka dalam permainan. Ia terbukti selepas kebangkitan dari ketinggalan 2-0.

“Apa yang paling menggembirakan saya adalah kualiti dalam melakukan hantaran dan pergerakan. Kami menamatkan perlawanan dengan tiga gol selepas mendapat banyak peluang.”

Sementara itu, Kane yang juga penyerang Tottenham Hotspur berkata, “Ia adalah malam yang istimewa. Apabila anda ketinggalan 2-0 kepada juara dunia, kemudian mengubah permainan dengan menunjukkan karektor sebenar kami.”

ARTIKEL YANG SAMA