Hoffman rangkul Terbuka Texas

Hoffman rangkul Terbuka Texas

LOS ANGELES, 25 April – Charley Hoffman berjaya mengetepikan kesukaran untuk melakukan birdie pada lubang terakhir bagi merangkul kejuaraan Terbuka Texas di San Antonio, di sini, sebentar tadi.

Pemain Amerika Syarikat (AS) itu memenangi gelaran Jelajah PGA AS buat kali keempat selepas berjaya mencatatkan tiga bawah par 69 dengan keseluruhan 12 bawah par 276.

“Pada beberapa bulan kebelakangan ini adalah sukar buat saya, bergelut dalam perlawanan setiap Ahad dan tidak menghasilkan keputusan baik,” kata Hoffman selepas melakukan birdie dari jarak 2.7 meter di lubang terakhir selepas, Patrick Reed melakukan birdie di lubang terakhir untuk menyamakan kedudukan sebagai pendahulu.

“Seronok dapat melakukan putt berkenaan, itu sudah pasti,” kata Hoffman.

Dengan pendahulu pada pusingan terdahulu, Ricky Barnes semakin ketinggalan, Hoffman melakukan birdie pada lubang ke-11 dan 14 untuk par lima lubang ke-18 di TPC San Antonio bagi mendahului satu pukulan ke atas Reed.

Reed, yang hampir terlepas birdie putt di lubang ke-16 dan 17, menamatkan saingan di tempat kedua selepas melakukan 69 untuk keseluruhan 277, sementara Chad Collins di tempat ketiga dengan 69 bagi keseluruhan 278.

Barnes yang memburu gelaran Jelajah PGA pertama, melakukan lima bogey dan tiga birdie dalam dua atas par 74 yang menyebabkan dia jatuh ke kedudukan keempat dengan keseluruhan 279. – AFP