Hoki: sasar ranking di FIH

Hoki: sasar ranking di FIH

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Bermula Mac 2016 ini Pasukan Hoki Kebangsaan Lelaki dan Wanita akan terlibat dalam persiapan yang rapi sepenuh masa sebanyak tiga sesi sehari dan sebelum itu pada bulan Januari dan Februari pula, para pemain akan terlibat dengan latihan bercorak ‘conditioning’ daripada aspek fizikal dan asas permainan.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Jurulatih Sukan Hoki Kebangsaan Lelaki dan Wanita 2016, Awang Shaiful Azli bin Abdul Rahman ketika disoal mengenai perkembangan skuad Hoki lelaki dan wanita kebangsaan bagi tahun 2016 pada majlis penandatangan kontrak bersama Persatuan Hoki Brunei Darussalam di pejabat persatuan di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas baru-baru ini.

“Saya melihat pasukan wanita mempunyai peluang yang agak cerah, Brunei Darussalam diletakkan dalam Kumpulan A bersama kumpulan Kazakstan, Singapura dan Kemboja,” ujarnya ketika mengulas mengenai Pusingan Pertama Liga Hoki Dunia yang bakal diadakan bermula 9 hingga 17 April 2016 di Singapura nanti.

Menurutnya, Kazakstan berada pada kedudukan ke-33 ranking dunia sementara Singapura pula di ranking ke-43 dunia dan berdasarkan kepada pencapaian semasa pasukan Kazakstan kini berada di ranking pertama kejohanan Liga Dunia.

Mengulas mengenai saingan dari Singapura pula, beliau menegaskan Singapura adalah pasukan yang baru dibentuk dan pada pertandingan di Bangkok yang lepas juga mereka tidak menghantar pasukan dan menurutnya ia satu petanda yang baik.

Awang Shaiful Azli ketika bertukar dokumen kontrak bersama Persatuan Hoki Brunei Darussalam di Pejabat Persatuan di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah Di Berakas baru-baru ini.
Awang Shaiful Azli ketika bertukar dokumen kontrak bersama Persatuan Hoki Brunei Darussalam di Pejabat Persatuan di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah Di Berakas baru-baru ini.

“Disebabkan pasukan ini baru dibentuk, pasukan wanita Kebangsaan Brunei Darussalam mempunyai peluang untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata daripada Singapura dan sasaran kepada perlawanan berhadapan Kazakstan adalah untuk mengurangkan jaringan bolos untuk mara ke separuh terakhir,”Ujarnya lagi.

Apabila ditanya mengenai persaingan Liga Dunia yang bakal diadakan itu, katanya kumpulan lelaki pula akan berhadapan dengan China yang kini berada di kedudukan teratas iaitu kedudukan ke-19 ranking dunia

Sementara itu, Hong Kong pula kini berada di kedudukan ke-52 dan Uzbekistan pula di tempat ke-63 dunia dan Brunei Darussalam bersama Indonesia kini masih belum berada dalam ranking dunia dan melihat kepada kedudukan itu China merupakan saingan terkuat bagi pasukan lelaki negara.

“Untuk kejohanan ini beberapa perkara sudah dirangka dan mereka (para pemain) akan terlibat dengan beberapa siri perlawanan persahabatan antara perlawanan di Johor Darul takzim, Malaysia, Singapura dan di Kuala Lumpur,” tegasnya lagi.

Beliau ketika memberitahu Media Permata, sasaran utama dalam kejohanan ini adalah persiapan kepada sukan Asia tenggara 2017 kerana padanya Pasukan Hoki kebangsaan Wanita mempunyai peluang cerah untuk sampai ke separuh akhir.

Menurut Awang Shaiful Azli, setakat ini 22 orang pemain wanita sudah disenaraikan namun hanya 18 akan dibawa ke Singapura, sementara itu bagi bahagian lelaki pula 20 orang pemain sudah tersenarai dan seperti juga pasukan wanita hanya 18 pemain akan meneruskan cabaran di Singapura nanti.

Ditanya bilakah nama pemain ini boleh ditetapkan, beliau menjelaskan senarai pemain masih diperbincangkan dan akan diumumkan dua hari sebelum bertolak ke Kota Singa kerana baginya ia akan dibuat berdasarkan tahap fizikal, stamina dan kesejahteraan pemain.

Beliau juga sebelum mengakhiri temu bual menegaskan sasaran besar mereka adalah untuk mendapatkan kedudukan di Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan berhasrat untuk berada di sana.

ARTIKEL YANG SAMA