Hollande selar bantahan ganas aplikasi tempahan

Hollande selar bantahan ganas aplikasi tempahan

PARIS, 26 Jun (AFP) – Presiden Perancis Francois Hollande hari ini menyelar bantahan ganas terhadap aplikasi tempahan menumpang, Uber, selepas pemandu-pemandu teksi membakar kenderaan dan menyekat lebuh raya, tetapi beliau berkata perkhidmatan itu seharusnya dihentikan.

Hollande menyifatkan tunjuk perasaan itu, yang mana penyanyi rok AS Courtney Love terperangkap dalam kejadian itu, sebagai ‘keganasan yang tidak dapat diterima di dalam sebuah negara demokrasi seperti Perancis.”

Tetapi Hollande yang menghadiri sidang mesyuarat para pemimpin EU di Brussels menambah kata “UberPOP seharusnya dibubarkan dan diisytiharkan tidak sah.”

Perkhidmatan itu adalah menyalahi undang-undang di Perancis sejak Januari, tetapi undang-undang terbukti sukar dikuatkuasakan dan perkhidmatan itu terus beroperasi. Kira-kira 3,000 pemandu teksi menyertai mogok itu semalam, yang menyekat laluan ke lapangan terbang Charles de Gaulle dan Orly di ibu negara, dan menghalang kereta dari sampai ke stesen kereta api di sekitar negara.

Sepuluh orang diberkas, tujuh orang anggota polis tercedera dan 70 buah kenderaan rosak dalam pertempuran antara pemandu-pemandu Uber dan pemandu teksi. Pemandu-pemandu teksi berang dengan apa yang mereka lihat sebagai persaingan tidak adil dari Uber, yang meletakkan para penumpang berhubungan dengan pemandu persendirian pada harga lebih rendah dari harga teksi biasa.

Menteri Dalam Negeri Bernard Cazeneuve berkata selepas berunding dengan kesatuan-kesatuan pemandu-pemandu teksi selepas hari tegang: “UberPOP adalah perkhidmatan tidak sah, ia mesti ditutup.”

Sehingga itu dilakukan, ‘kenderaan-kenderaan para pemandu UberPOP seharusnya dirampas secara teratur apabila mereka secara terbuka melanggar undang-undang,” kata menteri itu lagi.

“Mentadbir negara tidak akan dilakukan dengan undang-undang rimba,” tambah Cazeneuve lagi.

Salah seorang wakil pemandu-pemandu teksi, Ibrahima Sylla, menyifatkan kata-kata menteri itu sebagai ‘janji, lagi’ dan berkata para pemandu bercadang meneruskan tunjuk perasaan.

Love, iaitu balu Kurt Cobain, terlibat dalam konfrontasi berhampiran lapangan terbang Charles de Gaulle.

Dalam Twitter dia mengatakan, para penunjuk perasaan ‘menyerang’ kenderaannya dan ‘mereka menjadikan pemandu kami sebagai tebusan’.