Home United putih mata

Home United putih mata

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Home United FC berputih mata dalam perlawanan Liga Singapura selepas DPMM FC berjaya bangkit untuk menang 2-1 di laman sendiri, sebentar tadi.

Tuan rumah membuka jaringan apabila Ambroise Begue memanfaatkan bola muntah hasil kesilapan pertahanan DPMM FC untuk melepaskan separa Voley kencang melepasi gapaian Wardun Yussof pada minit ke-19 hari ini.

Suasana perlawanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah kemudiannya berubah menyaksikan Home United semakin garang dengan serangan bertubi-tubi ke kubu pertahanan DPMM FC dan kerap kali hampir berjaya menambah jaringan.

Namun yang demikian Penjaga Gol DPMM FC, Wardun Yussof perlu diberikan pujian kerana banyak kali menyelamatkan keadaan cemas dalam D yang di atur barisan hadapan Home United.

Pasukan tuan rumah, DPMM FC juga beroleh beberapa peluang dan juga giat memberikan saingan terutama selepas ketinggalan 1-0 dan meskipun dalam keadaan yang tertekan pemain DPMM FC terus gigih berusaha merubah kedudukan permainan di tempat sendiri.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan berangkat menyaksikan DPMM FC bertemu Home United FC dalam perlawanan Liga Singapura di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas semalam. DPMM FC menang 2-1. – Gambar Infofoto
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan berangkat menyaksikan DPMM FC bertemu Home United FC dalam perlawanan Liga Singapura di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas semalam. DPMM FC menang 2-1. – Gambar Infofoto
Azwan Ali Rahman muncul sebagai wira DPMM FC ketika membenam Home United FC 2-1 dalam aksi Liga Singapura di Stadium Negara Hassanal Bolkiah semalam. - Infofoto
Azwan Ali Rahman muncul sebagai wira DPMM FC ketika membenam Home United FC 2-1 dalam aksi Liga Singapura di Stadium Negara Hassanal Bolkiah semalam. – Infofoto

Namun pada minit ke-34 Sirina Camara, pemain pertahanan Home United melakukan kekasaran ke atas Pemain Pertahanan DPMM FC, Brian Mclean yang cuba mendapatkan bola yang dihantar Paulo Sergio melalui sepakan percuma selepas Ketua pasukan DPMM FC, Awang Rosmin Kamis dikasari.

Akibat tolakan itu Camara dilayangkan kad kuning oleh Pengadil Perlawanan W. Ravisanthiran sementara itu pasukan DPMM FC dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Rafael Ramazotti pada minit ke-35 untuk menjadikan kedudukan terikat 1-1.

Babak kedua menyaksikan aksi berbalas serangan oleh kedua-dua pasukan dan beberapa peluang keemasan di pihak Home United termasuk sepakan percuma di luar petak D DPMM FC akibat pergelutan pemain pertahanan DPMM FC dengan serangan Home United, namun cubaan Home United dapat dibaca dan dikawal DPMM FC.

DPMM FC turut mendapat peluang terbaik daripada sepakan percuma yang diambil oleh Paulo Sergio namun percubaannya melambung melepasi palang Home United yang dikawal oleh Zulfairuz Rudy.

Namun pada minit ke-71, Azwan Ali Rahman yang menerima bola hasil kawalan dada Paolo Sergio mengelecek bola ke kanan menuju ke petak D Home United sebelum mematah haluan untuk mengelirukan pertahanan Home United.

Hasil gerakan itu beliau mengembalikan bola kepada Sergio yang kemudiannya melambungkan kembali kepadanya yang berada di dalam petak D Home United sebelum melambungkan bola menggunakan kepala untuk mengelirukan penjaga gol Home United untuk menempatkan DPMM FC di hadapan dengan jaringan 2-1.

Sejurus selepas itu corak permainan semakin rancak apabila menaksikan pasukan tuan rumah semakin yakin dan lebih teratur dalam serangan dan hampir menambah kedudukan pada minit ke-75 melalui sepakan percuma yang sedikit tersasar oleh Paolo Sergio.

Pasukan pelawat juga sering membuat cubaan dan asakan dan beberapa kali berjaya mendekati gawang gol namun Penjaga Gawang DPMM FC, Wardun Yussof serta pemain pertahanan tampil wira menyelamatkan keadaan.

Pada masa kecederaan, Shamil Sharif daripada Home United dilayangkan kad kuning kerana mengasari Azwan yang dihadiahkan sepakan percuma namun kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan dengan jaringan DPMM FC 2 – 1 untuk Home United.