Honda di landasan capai sasaran jualan

Honda di landasan capai sasaran jualan

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) – Honda Malaysia berada di landasan untuk capai sasaran jualan 85,000 unit tahun ini dengan 43,597 unit sudah dijual bagi separuh pertama.

Dalam satu kenyataan hari ini, Honda Malaysia berkata jualan separuh pertama 2015 menyumbang 13.5 peratus kepada jumlah jualan keseluruhan industri setakat Jun 2015, iaitu 2.3 mata lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2014.

“Prestasi untuk enam bulan pertama adalah menggalakkan dengan jualan purata bulanan 7,200 unit.

“Pada Mac, Honda Malaysia mencatatkan jualan bulanan tertinggi 9,582 unit dan merekodkan penguasaan pasaran tertinggi kami iaitu 15.1 peratus pada Jun 2015,” katanya.