Honda M’sia buka pusat sementara ganti beg udara

Honda M’sia buka pusat sementara ganti beg udara

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Honda Malaysia akan membuka tiga pusat servis sementara dan 24 hab mudah alih bagi membantu melancarkan lagi usaha rangkaian pengedarnya menggantikan beg udara Takata pada kenderaan terbabit.

Lokasi hab berkenaan adalah di Jalan Dato’ Keramat, Georgetown, Pulau Pinang (wilayah utara); Soo & Sons Metal Works Sdn Bhd di Petaling Jaya (hab wilayah tengah) dan Oriental Assemblers Sdn Bhd (wilayah selatan).

“Kesemua hab ini akan beroperasi pada 1 Ogos sehingga 30 September 2016, dan dibuka dari jam 8 pagi-7 malam selama tujuh hari seminggu kecuali cuti umum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, pelanggan terbabit juga akan dibayar pampasan RM50 sehari bagi sepanjang tempoh kereta yang tidak dapat digunakan kerana menunggu waktu penggantian beg udara berkenaan.

Honda Malaysia akan terus memaklumkan para pelanggannya mengenai kepentingan menggantikan beg udara bagi kenderaan terbabit.

“Pemilik kenderaan Honda yang terbabit dengan arahan penarikan balik bagi tujuan penggantian beg udara itu dinasihatkan untuk memastikan kenderaan mereka telah diperiksa dan bahagian berkenaan diganti di mana-mana rangkaian pengedar sah Honda secepat mungkin,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA