Honda tarik balik 4.5 juta kereta

Honda tarik balik 4.5 juta kereta

TOKYO, 9 Julai (AFP) – Pengeluar kereta Jepun Honda berkata hari ini ia sedang menarik balik 4.5 juta kenderaan di seluruh dunia, tatkala kebimbangan mengenai kerosakan dalam beg udara buatan Takata semakin meluas.

Tindakan tersebut membawa kepada 24.5 juta jumlah kenderaan yang telah ditarik balik oleh pengeluar kereta nombor tiga negara selepas beg udara rosak dikaitkan dengan lapan kematian di seluruh dunia.

Kerosakan itu, dipercayai berkaitan dengan bahan dorong kimia yang membantu mengembungkan beg udara, boleh menyebabkan mereka digunakan dengan daya yang kuat, menyebabkan serpihan besi meluru jatuh pada pemandu dan penumpang.

Mangsa terbaru yang disahkan adalah seorang wanita di Los Angeles yang meninggal dunia pada tahun lalu selepas inflator dalam kereta Honda Civic 2001 pecah, menyebabkan sepihan besi berterbangan padanya.

“Seperti pengeluar kereta lain, kami sedang menyiasat kenderaan di pasaran berhubung isu ini, dan kami mendapati beberapa inflator mempunyai kepadatan gas yang tidak sama, yang kami khuatir mungkin menimbulkan beberapa masalah,” kata jurucakap Honda.

Honda menarik semula kenderaannya yang disyaki mengalami masalah beg udara. – AFP
Honda menarik semula kenderaannya yang disyaki mengalami masalah beg udara. – AFP

“Ia adalah satu langkah pencegahan dan tidak seperti penarikan balik lain, kami tidak menunggu keputusan penuh penyelidikan,” tambah beliau.

Pada Jun, Honda mengurangkan pendapatan tahunannya sebanyak 14 peratus untuk tahun fiskal lalu, menyalahkan pertambahan penarikan balik beg udara rosak yang dikeluarkan oleh pembekal alat ganti Jepun Takata.

Pesaing domestik terbesar Honda Toyota dan Nissan pada bulan lalu menambah penarikan balik global mereka, dengan jumlah kini mencecah berpuluh juta di seluruh dunia.

Takata yang berpangkalan di Tokyo telah menerima kecaman mengenai krisis berkenaan, tatkala ia menghadapi tindakan guaman dan siasatan dalam tuduhan mengatakan ia tahu mengenai masalah dan dihadapi dan menyembunyikan risiko yang timbul.

Kevin Kennedy, naib presiden eksekutif di Takata cawangan AS TK Holdings, baru-baru ini memberitahu penggubal undang-undang AS bahawa syarikat yang salah satu pembekal beg udara terbesar di dunia itu masih mencari punca utama ledakan yang membawa maut.