Honeywell sertai inisiatif hab utama M’sia

Honeywell sertai inisiatif hab utama M’sia

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini mengumumkan pembabitan konglomerat multinasional terkemuka Amerika Syarikat (AS), Honeywell sebagai syarikat global pertama menyertai inisiatif Hab Utama Malaysia.

Dalam satu kenyataan, hari ini, MIDA berkata inisiatif itu bertujuan menarik lebih banyak pelaburan asing ke rantau ini selain menjadi pemangkin terhadap pembangunan.

Menerusi inisiatif itu, Honeywell akan dapat memperuntukkan sumbernya bagi menyokong pelan pengembangan perniagaan di Malaysia serta di rantau ini.

Sambil menyambut baik inisiatif Honeywell itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan menyifatkannya sebagai mengiktiraf kedudukan strategik Malaysia sebagai asas bagi syarikat meneroka peluang di ASEAN dan pasaran Asia Pasifik yang lebih besar.

“Pelaburan ini turut menjadi pernyataan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia, dasar kerajaan yang properniagaan serta petunjuk keakraban hubungan ekonomi Malaysia-AS,” katanya.

Sementara itu, Presiden Rantau Asia Tenggara (Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina) Honeywell, Jim Bujold, berkata syarikat berkenaan sememangnya komited untuk membawa masuk teknologi serta kaedah penyelesaian terbaik ke rantau ini.

“Kami amat teruja kerana menjadi syarikat multinasional pertama untuk menyertai inisiatif Hab Utama yang penting ini. Kami berharap dapat melakar episod pertumbuhan baharu di Malaysia dan negara jiran,” katanya.

Honeywell, syarikat peneraju kepelbagaian teknologi dan perusahaan serta tersenarai dalam Fortune 100, bertapak di rantau ini menerusi teknologi canggih dan penyelesaian dalam bidang aeroangkasa, bangunan, kediaman dan industri, automobil serta minyak dan gas. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA