Hormati bendera negara selayaknya

Hormati bendera negara selayaknya

Oleh Pg Fairol RMF, Normazlina M.D, Hajah Saemah & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

Gambar oleh Hajah Saemah, Azlan Othman, Infofoto & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Feb – Orang ramai diingatkan bahawa bendera negara hendaklah diberikan penghormatan yang selayaknya dan sebarang tindakan yang dinilai menghina bendera tidak akan diambil ringan malah akan menghadapi tindakan pihak berkuasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar mengingatkan supaya bendera disimpan di tempat-tempat yang sesuai dan bendera yang dikibarkan mestilah dalam keadaan baik dan bukannya koyak, lusuh atau pudar warnanya.

“Marilah kita mengelakkan keadaan di mana terdapatnya bendera yang sudah koyak atau kurang bersesuaian berkibar di tiang bendera begitu saja. Jika sekiranya bendera tersebut sudah tidak sesuai digunakan lagi, lupuskan bendera tersebut dengan cara yang betul.”

Beliau menekankan perkara ini ketika menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran Program Semarak Pengibaran Bendera Negara Sempena Sambutan Hari Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam ke-32, yang berlangsung di Ruang Atrium, The Airport Mall, Berakas, hari ini.

Dato Paduka Haji Hamdan (tengah) hadir pada Majlis Pelancaran Program Semarak Pengibaran Bendera Negara di Ruang Atrium, The Airport Mall, Berakas, kelmarin.
Dato Paduka Haji Hamdan (tengah) hadir pada Majlis Pelancaran Program Semarak Pengibaran Bendera Negara di Ruang Atrium, The Airport Mall, Berakas, kelmarin.
Tetamu kehormat bersama kira-kira 300 orang penduduk Daerah Tutong sama-sama memeriahkan Majlis Pelancaran Program Semarak Pengibaran Bendera Negara yang diadakan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong. - Infofoto
Tetamu kehormat bersama kira-kira 300 orang penduduk Daerah Tutong sama-sama memeriahkan Majlis Pelancaran Program Semarak Pengibaran Bendera Negara yang diadakan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong. – Infofoto
Dato Paduka Haji Jamain ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang Johan Pertandingan Koir Lagu-Lagu Patriotik Antara Mukim-Mukim.
Dato Paduka Haji Jamain ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang Johan Pertandingan Koir Lagu-Lagu Patriotik Antara Mukim-Mukim.
Awang Abdul Mutalib ketika menyampaikan hadiah kepada Penghulu Mukim Bangar, Daerah Temburong di samping Ketua Kumpulan Citra Alunan. – Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
Awang Abdul Mutalib ketika menyampaikan hadiah kepada Penghulu Mukim Bangar, Daerah Temburong di samping Ketua Kumpulan Citra Alunan. – Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

Kira-kira 450 orang yang terdiri daripada para pegawai kanan dan pegawai dari Jabatan Perdana Menteri, ahli-ahli dari majlis perundingan mukim dan kampung, Majlis Wanita Brunei Darussalam, Majlis Belia Brunei dan persatuan-persatuan, para peserta Program Khidmat Bakti Negara, anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Laut, pasukan-pasukan keselamatan swasta, premis-premis perniagaan, syarikat swasta, para penuntut sekolah dan para penyewa kedai di pusat membeli-belah berkenaan, menghadiri majlis pelancaran tersebut.

Program anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri itu diadakan di keempat-empat daerah dengan objektif untuk menanamkan dan mempertingkatkan kesedaran rakyat dan penduduk negara ini mengenai peranan dan tanggungjawab mereka menaikkan dan mengibarkan bendera semasa Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan.

Ia juga untuk meningkatkan rasa hormat dan sayang rakyat dan penduduk negara ini terhadap bendera negara yang merupakan simbol keagungan dan kedaulatan raja, bangsa dan negara.

Di samping itu, program ini juga menggalakkan dan membudayakan amalan pengibaran bendera negara dalam kalangan rakyat dan penduduk negara ini semasa sambutan perayaan hari-hari kebesaran negara dengan mematuhi aturan-aturan yang telah ditetapkan, dan pada masa yang sama, untuk mendukung dan membantu usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan dalam menggalakkan rakyat dan penduduk untuk mengibarkan bendera negara.

Di Daerah Tutong, majlis pelancaran program telah diadakan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong yang dihadiri kira-kira 300 orang dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Ekonomi & Kewangan) di Jabatan Perdana Menteri, Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Manakala itu, di Daerah Belait, kira-kira 300 orang menghadiri majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Persidangan Kuala Belait.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Hiliran dan Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad dan Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib dan Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Haji Ali bin Matyassin.

Sementara itu, di Daerah Temburong pula, majlis seumpamanya diadakan di Ruang Legar Kompleks Bangunan Bumiputera, Pekan Bangar di hadapan kira-kira 200 jemputan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Abdul Mutalib bin POKSS Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, Pegawai Daerah Temburong, Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah dan Penolong Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud.

Majlis pelancaran di keempat-empat daerah telah diserikan dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan lagu patriotik ‘Bendera Negara’.

Selain itu, majlis turut diselajurkan dengan penyampaian hadiah Pertandingan Lagu-lagu Patriotik yang julung-julung kalinya diadakan bagi program berkenaan di kesemua daerah.

Muncul juara bagi Daerah Brunei dan Muara ialah kumpulan Koir Permata Permai, Mukim Lumapas; di Daerah Tutong juara disandang oleh Kumpulan Cahaya dari Mukim Ukong; manakala itu kumpulan dari Mukim Seria muncul juara bagi Daerah Belait; dan Kumpulan Cahaya Kemerdekaan dari Mukim Bokok, Daerah Temburong.

Pertandingan berkenaan telah berlangsung di setiap daerah baru-baru ini.