Hormati bulan Ramadan

Hormati bulan Ramadan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Menjelang kedatangan bulan Ramadan,Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengingatkan seluruh rakyat dan penduduk di negara ini supaya menghormati bulan yang penuh kemuliaan dan keberkatan dengan mematuhi undang-undang serta menunaikan kewajipan yang telah ditetapkan.

“Kita hendaklah jangan keliru dengan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan dengan kewajipan dari segi undang-undang agar menghormati bulan Ramadan yang menghendaki semua orang sama ada beragama Islam mahupun bukan Islam untuk tidak makan atau minum apa jua makanan atau minuman atau menghisap apa jua tembakau di tempat awam semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadan,” kata KHEU dalam satu kenyataan di sini.

Bagi masyarakat Islam di negara ini, kewajipan berpuasa dari sudut agama mahupun kewajipan menghormati bulan Ramadan dari sudut undang-undang nampaknya tiada masalah.

Bagaimanapun, bagi masyarakat bukan Islam pula, kewajipan menghormati bulan Ramadan dari sudut undang-undang memerlukan sedikit penyesuaian diri untuk memenuhi kehendak undang-undang tersebut, yang mula dikuatkuasakan pada 1 Mei 2014.

Menurut KHEU, penyesuaian diri tersebut bukanlah suatu yang drastik sehingga memerlukan mereka wajib berpuasa sebagaimana orang Islam berpuasa. Mereka masih boleh menikmati hidangan masing-masing di tempat kediaman masing-masing pada waktu atau masa orang Islam sedang berpuasa.

Begitu jua dalam perkara menjual atau menghidangkan makanan atau minuman untuk dimakan atau diminum dengan serta-merta atau “dine in” di kedai makan atau restoran-restoran yang merupakan tempat awam, semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadan adalah menjadi suatu kesalahan.

Kenyataan itu menjelaskan, tafsiran “tempat awam” sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang bermaksud tiap-tiap lebuh raya awam, jalan, jalan raya, medan, lapangan, jalan kecil, lorong, laluan sempit, kaki lima, tempat bersiar-siar, dermaga, jeti, pelabuhan, jambatan, taman awam, atau tempat lapang, dan tiap-tiap pawagam, tempat hiburan awam apa pun jenisnya atau tempat peranginan am yang lain, di mana untuk memasukinya diperolehi dengan bayaran, atau di mana orang ramai mempunyai akses.

Peruntukan undang-undang tersebut membenarkan tapau atau “take away” bagi pelanggan-pelanggan kedai makan atau restoran-restoran tersebut.

Sebenarnya, masih ada ruang bagi penganut bukan Islam sama ada pengusaha mahupun pelanggan untuk memenuhi keperluan pemakanan masing-masing pada siang hari bulan Ramadan.

Di sinilah peluang untuk membuat strategi baru perniagaan agar hidangan makanan kekal enak dan menyelerakan walau dalam bentuk tapau atau “take away”.

Ini dapat diperhatikan dengan strategi perniagaan yang menawarkan perkhidmatan penghantaran atau “delivery” yang sedia ada yang mana, mutu serta keenakan makanan masih dapat dikekalkan sehingga ke suatu jangka masa.

ARTIKEL YANG SAMA