Hormatilah Neymar – Micale

Hormatilah Neymar – Micale

RIO DE JANEIRO, 11 Ogos – Jurulatih skuad Olimpik Brazil, Rogerio Micale memberi amaran kepada peminat supaya memberikan sedikit rasa hormat kepada Neymar kerana tindakan mencemuh secara berterusan boleh menyebabkan pemain itu menarik diri daripada skuad kebangsaan.

Skuad tuan rumah kini bergelut dengan prestasi hambar selepas hanya dua kali seri – menentang Afrika Selatan dan Iraq untuk meletakkan juara dunia lima kali itu berisiko tinggi tersingkir awal.

Neymar, yang juga penyerang Barcelona dikritik peminat selepas Brazil gagal menjaringkan sebarang gol dalam dua perlawanan tetapi Micale memberi amaran tindakan itu boleh menyebabkan pemain bintang mereka tawar hati untuk menyarung jersi negara.

“Suatu hari nanti, Neymar akan menjadi seorang pemain terbaik dunia dan kita perlu menghormatinya,” kata Micale.

“Dia masih muda dan saya tahu ada sedikit tingkah lakunya yang mungkin kita tidak setuju tetapi pada tahap ini, kita tidak mampu mencapai apa yang dia lakukan. Adakah kita memiliki apa yang dia ada?

“Jika kita tidak menghormati pemain terbaik yang dimiliki, mereka juga mungkin tidak lagi berminat untuk bersama pasukan,” katanya yang menegaskan, pemain itu masih kurang pengalaman tetapi pada usia 24 tahun, Neymar sudah menjaringkan 46 gol dalam 70 penampilan bersama Brazil.

“Dia belum matang sepenuhnya. Dia baru berusia 24 tahun. Secara umumnya, apabila pemain mencapai kemuncak pada usia 28 tahun, secara fizikal dan mental, dia akan mampu berdepan dengan tekanan seperti ini yang dialaminya sejak berusia 17 tahun,”. – Agensi