Hos Piala Dunia 2026 diumum pada Mei 2020

Hos Piala Dunia 2026 diumum pada Mei 2020

MEXICO CITY, 11 Mei (AFP) – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkata, negara yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026 akan dipilih pada Mei 2020, ketika proses pemilihan disambung semula susulan skandal membabitkan badan induk itu.

Negara-negara yang berminat perlu menghantar pencalonan mereka sebelum penghujung Disember 2018, kata FIFA selepas mesyuarat majlisnya, di sini.

Proses bidaan akan dibuat dengan empat langkah, bermula dengan fasa perundingan di antara ketika ini hingga Mei 2017.

Ia diikuti dengan ‘Fasa penyediaan tawaran yang dipertingkatkan’ antara Jun 2017 hingga Disember 2018, dan penilaian terhadap para pencalonan antara Januari 2019 hingga Februari 2020.

Fasa perundingan akan melihat kepada keperluan hak asasi manusia, pengurusan majlis yang mapan dan perlindungan alam sekitar, antara perkara lain yang turut diambil kira.

Keputusan mengenai jumlah pasukan dan format bagi Piala Dunia 2026 akan diputuskan pada Oktober 2016, jauh sebelum tuan rumah dipilih. FIFA sedang menimbang untuk meningkatkan jumlah pasukan daripada 32 kepada 40 selepas ini.

Proses bidaan bagi Piala Dunia 2026 ditangguhkan daripada Jun lalu disebabkan masalah skandal rasuah yang melanda badan induk itu termasuk pemilihan tuan rumah Piala Dunia bagi Russia 2018 dan Qatar 2022.

ARTIKEL YANG SAMA