Hospital Aleppo diserang

Hospital Aleppo diserang

ALEPPO, Syria, 2 Okt – Hospital terbesar di timur Aleppo yang dikuasai pemberontak telah menjadi sasaran pengeboman buat kali kedua dalam tempoh beberapa hari ketika pasukan kerajaan Syria melancarkan serangan yang dibantu Rusia untuk menawan semula keseluruhan bandar itu.

Aleppo, yang pernah menjadi pusat komersial Syria kini di tengah kempen ketenteraan hebat oleh para pejuang Presiden Bashar al-Assad dan sekutu setianya, Moscow.

Serangan yang diumumkan pada 22 September itu telah mengorbankan berbelas-belas orang awam dan bangunan-bangunan perumahan runtuh di timur, yang mana kira-kira 250,000 orang hidup di bawah kepungan kerajaan.

Usaha-usaha diplomatik untuk menamatkan peperangan di seluruh negara telah gagal.

Bagaimanapun, para menteri luar Amerika Syarikat (AS) dan Rusia yang menjadi pihak perantara perjanjian gencatan senjata seminggu yang gagal bulan lalu, telah mengadakan perbincangan melalui telefon semalam.

Gambar yang disediakan oleh kumpulan Pertahanan Awam Syria dikenali sebagai White Helmets menunjukkan warga Syria memeriksa bangunan yang musnah selepas serangan udara dari helikopter kerajaan ke atas kejiranan Aleppo iaitu Mashhad, Syria yang ditawan pemberontak pada 27 September. – AP
Gambar yang disediakan oleh kumpulan Pertahanan Awam Syria dikenali sebagai White Helmets menunjukkan warga Syria memeriksa bangunan yang musnah selepas serangan udara dari helikopter kerajaan ke atas kejiranan Aleppo iaitu Mashhad, Syria yang ditawan pemberontak pada 27 September. – AP

Kementerian luar di Moscow berkata melalui Facebook bahawa Sergei Lavrov telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari AS, John Kerry dan mereka ‘telah meneliti situasi di Syria, termasuklah kemungkinan memulihkan situasi sekitar Aleppo menjadi seperti biasa’.

Menurutnya lagi, ‘kumpulan haram bersenjata’ terus bertempur di bandar itu di sebalik perjanjian AS-Rusia dan jurucakap wanita kementerian luar Rusia Maria Zakharova memberi amaran kepada AS tentang mengambil sebarang tindakan langsung ke atas Damsyik atau tentera Syria.

“Ia akan membawa kepada peralihan yang dahsyat dan tektonik bukan saja pada wilayah di negara ini tetapi juga di rantau secara keseluruhan,” katanya, menurut penyedia berita yang dikawal kerajaan Rusia, Sputnik. Ketika situasi bagi orang awam di Aleppo semakin teruk, hospital terbesar di timur bandar itu menjadi sasaran bom semalam, menurut pertubuhan perubatan yang menyokongnya.

“Dua tong bom mengenai hospital M10 dan terdapat laporan tentang bom berangkai juga,” kata Adham Sahloul dari Persatuan Perubatan Amerika Syria (SAMS).

Sahloul berkata sekumpulan kecil yang terdiri daripada pesakit dan doktor,” berada di dalam hospital itu yang melakukan kerja membersihkan dan membalut bagi kes kecemasan,” apabila pengeboman bermula.

Pakar radiologi SAMS dan pentadbir hospital Mohammad Abu Rajab telah membuat panggilan kecemasan dari dalam M10 bagi mendapatkan bantuan.

“Hospital sedang dimusnahkan! SOS!,” katanya dalam mesej audio yang disebarkan oleh para wartawan.

MIO telah pun menjadi sasaran Rabu lalu di samping sebuah hospital kedua terbesar di kawasan itu, M2. – AFP