Hospital Bangladesh bergelut merawat pesakit Rohingya

COX’S BAZAR, Bangladesh, 11 Sept – Seorang budak Rohingya berusia tujuh tahun berbaring pada satu tilam koyak di lantai sebuah hospital kerajaan yang penuh sesak di Bangladesh, satu balutan menutup luka peluru di dadanya yang dilepaskan oleh tentera Myanmar seminggu sebelumnya.

Dia adalah salah seorang daripada 80 pesakit Rohingya, kebanyakannya lelaki yang dirawat di kemudahan perubatan di sebuah bandar pantai yang kini dibanjiri dengan hampir 300,000 puak Islam Rohingya yang telah melarikan diri dari kekejaman di Rakhine, Myanmar.

Dia merupakan pesakit termuda daripada enam pesakit yang mengalami cedera tembakan yang ditemu bual oleh The Associated Press dalam dua kunjungan kebelakangan.

“Askar-askar itu baru sahaja memulakan tembakan katanya. Saya melihat anak saya terbaring,” ayah budak lelaki itu, Abu Tahir berkata.

Dalam huru-hara yang diikuti kehilangan jejak keluarga mereka selebihnya sebelum Tahir membawa anaknya menyeberangi sempadan ke arah selamat. Kini dia melihat tulang rusuk anaknya dirawat, berdoa agar dia akan sembuh.

Anak kepada Tahir yang dirawat di Hospital Sadar di Cox’s Bazar, Bangladesh. – AP

Hospital Sadar ialah kemudahan perubatan utama di kawasan Cox’s Bazaar. Ia kini melangkaui had, dengan 20 doktor bertanggungjawab bagi rawatan ratusan pesakit.

Kini ia hampir dua kali ganda kapasitinya dan buat pertama kali doktor-doktor berdepan dengan kecederaan-kecederaan seperti luka tembakan, trauma dan luka-luka tikaman dalam skala besar dari masyarakat Rohingya.

“Kami tidak pernah menyaksikan kekejaman sebegini sebelum ini,” ujar Dr. Shaheen Abdur Rahman Choudhuru, ketua hospital itu.

Kekejaman itu bermula pada 25 Ogos apabila pemberontak-pemberontak Rohingya menyerang pos-pos polis dan tentera Myanmar dalam apa yang mereka kata satu usaha untuk melindungi etnik minoriti mereka dari penganiayaan pasukan-pasukan keselamatan di negara majoriti beragama Buddha itu. – AFP