Hospital kanak-kanak penuhi impian Mandela

Hospital kanak-kanak penuhi impian Mandela

JOHANNESBURG – Dinding-dinding wad dicat dengan warna yang cerah dan disesuaikan dengan perabot berwarna-warni, ia adalah sebuah hospital kanak-kanak yang baru di Johannesburg bagi menghormati Nelson Mandela.

Selepas beliau bergelut untuk membasmi aparteid, antara impian Mandela adalah membina sebuah hospital pakar pediatrik yang pertama di Afrika Selatan.

Bagi menandakan ulang tahun ketiga kematiannya pada 5 Disember, dan lebih daripada 10 tahun selepas beliau timbul dengan idea itu, Hospital Kanak-kanak Nelson Mandela akan menerima pesakit pertamanya pada 2 Disember.

Impiannya tercapai selepas perjuangan untuk mendapatkan dana menemui kejayaan di sebalik kemerosotan ekonomi global dan kesukaran mendapatkan derma tanpa kehadiran Mandela sendiri.

“Ia satu keajaiban. Hospital kanak-kanak ini pada mulanya hanyalah satu impian dan idea,” kata CEO Dana Kanak-kanak Nelson Mandela, Sibongile Mhabela, ketika membuat lawatan ke beberapa buah wad baru.

Hospital itu akan menempatkan seramai 450 orang jururawat pediatrik yang telah menjalani latihan selama lima tahun kebelakangan ini dan 150 orang doktor pakar. – AFP
Hospital itu akan menempatkan seramai 450 orang jururawat pediatrik yang telah menjalani latihan selama lima tahun kebelakangan ini dan 150 orang doktor pakar. – AFP

Mandela, secara rasminya memulakan projek itu pada bulan Julai 2009 di sebuah tapak kriket yang lama.

‘Beliau menyayangi kanak-kanak’

Sebahagian besar dana-dana itu masuk ketika Mandela menjadi semakin lemah dan tidak dapat lagi melobi untuk mendapatkan derma.

“Kami memerlukan AS$100 juta (95 juta euro), kami tidak mempunyai wang yang cukup,” kata Mkhabela.

“Ia begitu sukar untuk melakukannya tanpa kehadiran beliau, teramat sukar, tetapi orang ramai bersedia untuk mendengar apa yang kami sampaikan dan mereka boleh mengaitkan dengan visinya.

“Terdapat banyak cara untuk anda memperingati Mandela, anda boleh membina sebuah patung, tetapi pada dasarnya, beliau menyayangi kanak-kanak.”

Kemudahan penjagaan kesihatan itu mempunyai 200 buah katil, dan perlu bersaing untuk mendapatkan pembiayaan dengan kecemasan kemanusiaan di Syria dan tempat lain.

“Afrika Selatan tidak dilihat sebagai keperluan,” kata Mkhabela.

Pemandangan pintu utama Hospital Kanak-kanak Nelson Mandela. – AFP
Pemandangan pintu utama Hospital Kanak-kanak Nelson Mandela. – AFP

Pembinaan akhirnya bermula pada tahun 2014 dengan dana-dana datang daripada para dermawan dan perniagaan termasuk Yayasan Bill Gates, Yayasan Kellogg, Islamic Relief Worldwide dan ahli perniagaan Afrika Selatan, Eric Samson.

Sesetengah kanak-kanak malah menggunakan tabung mereka, sementara sebahagian penduduk Afrika Selatan menderma menggunakan bantuan melalui pesanan mesej.

Logo hospital itu direka oleh kanak-kanak, begitu juga kertas dinding di wad-wad dan di sepanjang koridor.

Kemudahan penjagaan kritikal tiga tingkat itu akan menyediakan rawatan penjagaan kanser, buah pinggang dan paru-paru; serta pembedahan hati, dada dan otak; dan keperluan kecemasan perubatan yang lain.

Ia akan menempatkan seramai 450 orang jururawat pediatrik yang telah menjalani latihan selama lima tahun kebelakangan ini dan 150 orang doktor pakar, termasuk beberapa orang dari Hospital bagi Kanak-kanak Sakit, Kanada dan Perubatan Antarabangsa John Hopkins di AS.

Kebanggaan dan keseronokan

Dibina di atas sebuah plot yang meliputi 34,000 meter persegi di kawasan Universiti Witwatersrand, hospital tersebut akan menawarkan perkhidmatan percuma kepada mereka yang miskin dan hanya mengenakan bayaran kepada mereka yang berkemampuan.

Ilustrasi pada dinding wad bagi menampakkan keceriaan hospital tersebut. – AFP
Ilustrasi pada dinding wad bagi menampakkan keceriaan hospital tersebut. – AFP
Kelihatan para pekerja binaan menyiapkan kerja-kerja di halaman luar. – AFP
Kelihatan para pekerja binaan menyiapkan kerja-kerja di halaman luar. – AFP

Ia dilengkapi dengan sejumlah kelengkapan canggih, termasuk pengesan ultra-sensitif yang boleh mengesan perincian ‘minutest’ dan membuat diagnosis yang tidak dapat dibuat oleh kelengkapan biasa,” kata ketua projek hospital tersebut, Joe Seoloane.

“Ia adalah sebuah hospital dan perlu dikhususkan dalam keadaan yang unik untuk kanak-kanak.

“Kami sangat bangga dan seronok, menjelang 2 Disember, kami secara rasminya boleh berkata “Afrika: ini adalah sebuah hospital bagi keadaan di mana anda fikir anda perlu ke Eropah.”

Hospital itu juga akan menawarkan siaran video agar para doktor di kawasan luar bandar di seluruh Afrika Selatan boleh mempelajari daripada siaran pembedahan.

Ia akan menjadi hospital kanak-kanak kelima Afrika: terdapat dua di Mesir, sebuah di Kenya dan sebuah lagi di hospital Palang Merah di Cape Town, kesemuanya dibina beberapa dekad yang lalu.

Hospital itu juga akan memainkan lagu-lagu dari sebuah stesen radio ke setiap wad bagi menghiburkan kanak-kanak malah menawarkan tempat penginapan bagi ibu bapa. – AFP