Hospital Petra Jaya dijangka siap Jun 2017

Hospital Petra Jaya dijangka siap Jun 2017

KOTA SAMARAHAN, 12 Okt – Pembinaan Hospital Petra Jaya di Kuching lewat 36 peratus daripada tempoh siap yang dijadualkan sebelum ini, dan dijangka hanya disiapkan pada 9 Jun tahun depan berbanding jadual asal November tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim berkata alasan yang diberi pihak kontraktor adalah disebabkan kekurangan tenaga pekerja.

“Pihak kontraktor berjanji akan menambah bilangan pekerja dan menyiapkan projek berkenaan mengikut tarikh baharu yang telah ditetapkan,” kata Dr Jamilah, dan menambah, kontraktor terlibat telah didenda atas kelewatan yang berlaku.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen 2016 Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Zon Sarawak yang disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Jamilah berkata projek Hospital Sri Aman dan Hospital Lawas yang baharu sedang dalam proses pembinaan. – Bernama