Hospital PMMPMHAMB jadi Pusat Kecemerlangan

Hospital PMMPMHAMB jadi Pusat Kecemerlangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperbaiki dan memberikan penjagaan menyeluruh yang cemerlang serta perkhidmatan berkualiti, Kementerian Kesihatan sedang melaksanakan inisiatif baru yang melibatkan semua hospital di negara ini untuk menjadi pusat kecemerlangan dengan kelebihan bidang perkhidmatan mereka sendiri bagi memberikan penjagaan kualiti terbaik kepada semua pesakit.

Pemangku Setiausaha Tetap (Dasar), Kementerian Kesihatan, Dr. Hazri bin Haji Kifli berkata, ke arah itu, pihak kementerian sedang melaksanakan inisiatif pusat sehenti bagi diagnosis dan rawatan terhadap pesakit-pesakit di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong.

Pelaksanaan inisiatif itu akan menyumbang kepada perkhidmatan yang lebih baik di hospital, selaras dengan salah satu keutamaan strategi kementerian yang berusaha untuk memberikan kecemerlangan menerusi penggabungan dan penjajaran perkhidmatan penjagaan kesihatan, katanya pada satu sidang media yang diadakan di Tingkat 2, Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Maslina binti Haji Mohsin dan Pengetua Perubatan Hospital PMMPMHAMB, Dr. Sofian bin Dato Paduka Haji Johar.

Menurut Dr. Hazri, inisiatif pusat sehenti adalah untuk memenuhi keperluan kepada pesakit-pesakit di seluruh negara dan tidak eksklusif kepada satu daerah sahaja.

Dr. Hajah Maslina, Dr. Hazri dan Dr. Sofian (kanan) ketika menjelaskan mengenai pelaksanaan inisiatif baru berkenaan.
Dr. Hajah Maslina, Dr. Hazri dan Dr. Sofian (kanan) ketika menjelaskan mengenai pelaksanaan inisiatif baru berkenaan.

“Semua aktiviti akan meningkatkan keselamatan pesakit, memperbaiki kualiti perkhidmatan dan nilai tambah kepada pesakit. Beberapa aktiviti di bawah inisiatif pusat sehenti sedang dilaksanakan, salah satu yang dilaksanakan adalah unit endoskopi di Hospital PMMPMHAMB sebagai bidang keutamaan di mana pesakit-pesakit boleh didaftarkan, didiagnosis dan dirawat di satu tempat. Inisiatif lain adalah meningkatkan peruntukan bagi kes pembedahan mata katarak.”

Beliau berkata, inisiatif pusat sehenti di Hospital PMMPMHAMB juga sejajar dengan lima fokus bidang Kementerian Kesihatan yang terdiri daripada: meningkatkan kualiti perkhidmatan menerusi penjajaran dan penggabungan; meningkatkan reputasi kakitangan Kementerian Kesihatan; memastikan masa penerimaan perubatan dan perkhidmatan asas; mengurangkan masa menunggu; dan memperbaiki perhubungan dan kesopanan asas.

Pada masa ini, Daerah Tutong mencatatkan lebih daripada 500 kelahiran anak damit setahun. Bagaimanapun, hanya kurang daripada 200 dilaksanakan di Hospital PMMPMHAMB. Lebih daripada separuh kelahiran dilakukan sama ada di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dengan lebih 5,000 kelahiran pada setiap tahun atau Hospital Suri Seri Begawan (HSSB) dengan lebih 1,000 kelahiran pada setiap tahun.

Kementerian Kesihatan turut memaklumkan bahawa perkhidmatan pesakit dalaman (termasuk kelahiran dan kemasukan wad) bagi Obstetrik dan Ginekologi di Hospital PMMPMHAMB akan ditukar ke pusat-pusat di Pusat Wanita dan Kanak-kanak di Hospital RIPAS dan HSSB.

Klinik-klinik Obstetrik dan Ginekologi termasuk klinik antenatal di Hospital PMMPMHAMB masih beroperasi seperti biasa di lokasi yang ada sekarang.

Kementerian Kesihatan mahu meyakinkan orang ramai bahawa sebarang kes kecemasan masih lagi diterima di Hospital PMMPMHAMB atau mana-mana kemudahan kesihatan lain.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerusi Kementerian Kesihatan komited sepenuhnya untuk mengukuhkan sistem kesihatan di negara ini secara berterusan bagi hasil kesihatan yang lebih baik, kualiti kehidupan dan kebajikan rakyat, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA