Hospital RIPAS agih kain penutup penyusuan

Hospital RIPAS agih kain penutup penyusuan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Bersempena dengan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu (PSI) 2016, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini, telah mengadakan Majlis Penyampaian Kain Penutup Penyusuan Anak Damit kepada wakil-wakil hospital dari keempat-empat daerah yang diadakan di Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, hospital berkenaan, di sini.

Hadir bagi menyerahkan kain-kain tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hospital RIPAS, Haji Muhd Jamal bin Haji Tersad.

Penyampaian kain penutup sempena Sambutan Minggu PSI Sedunia 2016 yang membawa tema ‘Penyusuan Susu Ibu: Kunci Kepada Pembangunan Mampan’ juga diberikan kepada ibu-ibu yang sedang dirawat di pusat berkenaan.

Menurut kenyataan di sini, pengagihan ini merupakan salah satu inisiatif yang membuktikan Kementerian Kesihatan sangat komited dan serius dalam mendukung dan menyokong hal ehwal kesejahteraan dan perlindungan kesihatan anak damit dan kanak-kanak melalui penyusuan susu ibu.

Haji Muhd Jamal menyampaikan kain penutup penyusuan anak damit kepada pegawai jururawat selaku wakil Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.
Haji Muhd Jamal menyampaikan kain penutup penyusuan anak damit kepada pegawai jururawat selaku wakil Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.
Dr Hajah Rohayati menyampaikan Kain Penutup Penyusuan Anak Damit kepada salah seorang ibu yang dirawat di Pusat Perempuan dan Kanak-kanak Hospital RIPAS.
Dr Hajah Rohayati menyampaikan Kain Penutup Penyusuan Anak Damit kepada salah seorang ibu yang dirawat di Pusat Perempuan dan Kanak-kanak Hospital RIPAS.
Gambar ramai ahli Jawatankuasa Minggu Penyusuan Susu Ibu 2016 bersama pengetua pegawai jururawat & pegawai-pegawai kanan Hospital RIPAS.
Gambar ramai ahli Jawatankuasa Minggu Penyusuan Susu Ibu 2016 bersama pengetua pegawai jururawat & pegawai-pegawai kanan Hospital RIPAS.

Sejak tahun 1992, Minggu PSI diraikan setiap tahun pada 1 hingga 7 Ogos dan di Negara Brunei Darussalam yang telah dengan jayanya dianjurkan sejak tahun 1999, di mana Kementerian Kesihatan sebagai agensi pengelola utama.

Pengagihan kain penutup penyusuan anak damit (Nursing Cover) ini diharap akan menggalakkan amalan PSI kerana ia memberikan keselesaan dan privasi kepada ibu pada bila-bila masa diperlukan sama ada di dalam bilik tertutup atau di tempat awam.

Dalam pada itu, pihak Hospital RIPAS juga akan mengungkayahkan pelbagai aktiviti sepanjang minggu PSI iaitu dengan mengadakan seminar bagi mempromosikan PSI bersama ibu-ibu yang dirawat di Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak yang akan disampaikan oleh pegawai jururawat dan jururawat-jururawat yang berpengalaman.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Penguasa Perubatan Hospital RIPAS dan pegawai-pegawai kanan Hospital RIPAS.

ARTIKEL YANG SAMA