Hospital Tawau berpindah ke bangunan baru Isnin depan

Hospital Tawau berpindah ke bangunan baru Isnin depan

TAWAU, 14 Okt – Jabatan Pesakit Luar Hospital Tawau akan berpindah ke bangunan baharu iaitu di Klinik Kesihatan Tawau Jenis II berkuat kuasa Isnin depan, kata Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi.

Dr Christina berkata pemindahan jabatan pesakit luar itu dibuat selepas mengambil kira isu kesesakan jabatan berkenaan di Hospital Tawau.Beliau berkata jumlah pesakit luar mendapatkan rawatan semakin meningkat sehingga mencecah 600 orang sehari.

“Peningkatan jumlah pesakit dan kekangan ruangan operasi di jabatan sedia ada tidak dapat memberi keselesaan kepada pesakit ketika mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jabatan Pesakit Luar di Klinik Kesihatan Jenis II itu dilengkapi 12 bilik berbanding empat sahaja di Hospital Tawau serta dilengkapi bilik kecemasan.

Dr Christina berkata Klinik Kesihatan Jenis II terletak di Jalan Datuk Chong Thien Vun, Sin Onn, itu akan dapat menampung beban kerja sedia ada, seterusnya merealisasikan harapan kerajaan untuk merakyatkan perkhidmatan awam.

“Klinik Kesihatan Jenis II akan memulakan operasi pada Isnin (17 Okt) mengikut waktu pejabat iaitu bermula 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, penduduk Tawau akan menerima perkhidmatan rawatan perubatan berkualiti yang lebih selesa selain fasiliti disediakan lebih baik berbanding di Hospital Tawau. – Bernama