Hotel Jen tingkat industri pelancongan Sabah

Hotel Jen tingkat industri pelancongan Sabah

KOTA KINABALU, 22 Sept (Bernama) – Hotel Jen turut terbabit dalam industri pelancongan yang semakin berkembang di Sabah dengan membangunkan sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Shangri-La Hotels and Resorts, Greg Dogan berkata, hotel itu akan menjadi ‘segar, mesra dan bebas karenah’ untuk memenuhi keperluan pengembara perniagaan serta percutian.

Kota Kinabalu adalah lokasi pilihan untuk perniagaan dan percutian, katanya.

Ini mendorong Hotel Jen untuk menawarkan fleksibiliti untuk orang ramai yang sibuk dengan waktu kerja yang tidak tetap yang cenderung untuk mencampurkan antara perniagaan dan percutian.

“Kami telah membina kehadiran yang kukuh di sini dan di seluruh Malaysia dan gembira yang jenama terbaru dalam portfolio kami ini akan mengukuhkan komitmen kami kepada Sabah dan negeri lain,” katanya pada majlis pemeteraian perjanjian di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan turut hadir.

Hotel Jen Kota Kinabalu adalah projek perkongsian di antara Shangri-La Hotels and Resorts dan Pacific Sanctuary Holdings Sdn Bhd.

Hotel yang akan dibuka pada 2018 itu akan diuruskan Shangri-La International Hotel Management Ltd.

Pengarah Eksekutif Pacific Sanctuary, KP Kuok berkata, industri pelancongan, satu daripada majikan penduduk Sabah terbesar, adalah faktor penting syarikat memutuskan membina hotel baharu itu di negeri ini.

“Pelancongan telah menawarkan penduduk Sabah dari segenap bidang untuk mendapatkan pekerjaan dan membangunkan kerjaya profesional mereka,” katanya.

Sebelum itu, Pairin berkata, penggiat industri pelancongan perlu menimbang perubahan semasa bagi memastikan ia kekal relevan.

Menurutnya, ini termasuk melaksanakan perancangan jangka panjang bagi memenuhi keperluan masa depan.