Hotel Mali dirampas, 12 maut

Hotel Mali dirampas, 12 maut

BAMAKO, 9 Ogos – Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam kepungan selama hampir 24 jam di sebuah hotel di bahagian tengah Mali yang dirampas oleh suspek kumpulan bersenjata Islam yang berakhir semalam ketika pasukan keselamatan menyerbu bangunan dan membebaskan sebahagian pekerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang terperangkap di dalam bangunan berkenaan.

Empat kontraktor PBB dibebaskan dalam serangan pada subuh hari, tetapi pasukan operasi pengaman PBB Mali (MINUSMA) berkata lima orang yang terbabit dalam operasi itu maut, sementara para pegawai Mali berkata tiga orang tebusan ditemui mati.

Lima anggota tentera dan empat lelaki bersenjata, termasuk seorang yang menurut para pegawai dipenuhi bahan letupan di badannya, turut terbunuh, kata jurucakap Kementerian Pertahanan.

Lelaki bersenjata merampas Hotel Byblos di bandar Sevare, kira-kira 600 kilometer di timur laut Bamako, ibu negara Afrika Barat, pada awal Jumaat dan bertempur dengan tentera kerajaan yang segera mengepung bangunan berkenaan.

Serangan itu adalah yang terbaru dalam apa yang dilihat sebagai kempen yang meningkat bagi menentang tentera Mali dan kakitangan PBB oleh saki baki kumpulan pemberontak yang ada kaitan dengan al-Qaeda dan kumpulan Islam tempatan yang baru dibentuk.

Sebahagian kenderaan yang hangus terbakar ketika insiden rampasan sebuah hotel di bahagian tengah Mali hang menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh. – AFP
Sebahagian kenderaan yang hangus terbakar ketika insiden rampasan sebuah hotel di bahagian tengah Mali hang menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh. – AFP

Jurucakap tentera Kolonel Souleymane Maiga berkata telahan awal ialah Barisan Pembebasan Massina, yang anggotanya kebanyakan daripada komuniti etnik Peul di Mali, melakukan serangan tersebut.

Seorang penduduk yang tinggal berhampiran hotel tersebut memberitahu Reuters bahawa pasukan keselamatan melancarkan serangan mereka di antara pukul 4 dan 5 pagi (0400-0500 GMT), sambil berkata: “Kami tidak mendengar senjata berat kali ini. Hanya kedengaran bedilan senjata ringan.”

Jumaat lalu, tentera Mali menggunakan senjata berat, termasuk pelancar roket grenad, dalam usaha menumpaskan kumpulan bersenjata berkenaan.