Hotel Parkview dibuka rasmi

Hotel Parkview dibuka rasmi

Oleh Mohd Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Setelah menjalani pengubahsuaian besar-besaran, Hotel Parkview di Jerudong, dibuka semula dengan majlis perasmiannya hari ini.

Hadir menyempurnakan perasmian semula hotel berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah selaku tetamu kehormat.

Pemangku Pengarah Besar hotel berkenaan, Pengiran Anak Hajah Noor Azimah binti Pengiran Anak Haji Latifuddin semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis itu memberitahu ini bukanlah hotel baru tetapi bangkit semula untuk memberikan perkhidmatan dan keselesaan lebih baik kepada tetamunya yang bukan sahaja daripada kalangan penduduk tempatan malah tetamu antarabangsa.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Jerudong Park & Country Club (JPCC) dan Freme Travel yang telah memberikan sokongan dan kerjasama kepada pihak mereka untuk berkembang serta menyatakan harapan agar kerjasama itu akan membantu semua pihak terlibat berkembang maju pada masa akan datang.

Yang Berhormat Pehin ketika merasmikan Hotel Parkview di Jerudong.
Yang Berhormat Pehin ketika merasmikan Hotel Parkview di Jerudong.
Pertukaran dokumen MoU di majlis itu.
Pertukaran dokumen MoU di majlis itu.
Pengiran Anak Hajah Noor Azimah ketika menyampaikan ucapannya.
Pengiran Anak Hajah Noor Azimah ketika menyampaikan ucapannya.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua-dua pegawai Daerah Tutong dan Temburong yang telah memberi kerjasama bagi mencapai matlamat syarikat untuk menjadikan Hotel Parkview sebagai pusat persinggahan bagi memperkenalkan tempat-tempat menarik serta budaya negara di daerah masing-masing.

Selepas menandatangani plak peringatan, Yang Berhormat Pehin kemudian menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) di antara Hotel Parkview dengan JPCC.

Mewakili Hotel Parkview ialah Pengarah Eksekutifnya, Awang Hambali bin Haji Mohd Salleh sementara itu JPCC diwakili oleh Lembaga Pengarah JPCC, Abdul Latiff bin POKSSDP Haji Mohd Yusof.

Dengan penandatangan MoU ini, Hotel Parkview menjadi hotel rasmi bagi JPCC di samping kerjasama dua hala termasuk penyediaan kaunter khas JPCC di hotel berkenaan yang membolehkan dan memudahkan tetamu hotel membeli tiket masuk ke Taman Permainan Jerudong serta menyediakan bas ulang-alik.

Selain itu, bersetuju untuk menyertakan kedua-dua belah pihak dalam pengiklanan dan risalah-risalah.

Sejurus selepas penandatanganan MoU berkenaan, tetamu kehormat dengan diiringi Pengarah Eksekutif Parkview, Tan Kah Boon dan Awang Hambali seterusnya menyempurnakan perasmian hotel berkenaan sebelum beredar memotong Reben pusat perniagaan yang turut disertai Pengerusi Freme Travel, Pengiran Dato Haji Sharifuddin bin Pengiran Metali.

Tetamu kehormat serta sidang majlis seterusnya berpeluang meninjau hotel yang baru sahaja dirasmikan itu.