Hotel tidak berlesen beri kesan negatif

MIRI, 10 Jan – Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Sarawak menggesa Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk mengambil tindakan segera terhadap pengendali hotel tidak berlesen yang akan memberi kesan negatif kepada sektor pekerjaan dan pelancongan di bandar ini dalam jangka masa panjang.

Setiausaha Agung Kehormatnya, John Teo Peng Yew berkata pada masa ini, impak negatif daripada hotel-hotel tidak berlesen di bandar Miri ini sudah dirasai oleh operator hotel berlesen di sini dengan anggaran kerugian sebanyak RM100 juta setahun dari 2014 hingga 2017.

“Dari 1 Jan hingga 31 Dis 2017, kira-kira satu juta bilik hotel diambil oleh pengendali hotel tidak berlesen di sini dengan anggaran kadar sewa bilik RM70 semalam. Dianggarkan bilik hotel tidak berlesen itu akan mencapai 3,500 bilik sekiranya bilik tambahan tidak dikawal,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain itu, katanya, banyak pekerja hotel berlesen hilang pekerjaan disebabkan permintaan bilik berkurangan kerana hotel tidak berlesen tidak memerlukan pekerja yang ramai berbanding hotel berlesen memandangkan mereka tidak memerlukan tahap perkhidmatan yang sama.

“Dengan permintaan hotel berlesen yang semakin kurang, memberikan satu lagi kesan negatif terhadap hotel ini dan pekerjanya kerana wang pelanggan yang sepatutnya dibelanjakan untuk makanan dan minuman di restoran dan bar mereka, berkemungkinan dibelanjakan di tempat lain,” katanya.

Teo menjangkakan pengendali hotel berlesen akan mengalami kerugian lebih daripada RM50 juta dalam makanan dan minuman kerana pelancong memilih untuk menempah dengan hotel tidak berlesen di bandar Miri.

“Di bandar Miri, terdapat kira-kira 3,000 bilik dikendalikan oleh 33 hotel berlesen, Bagaimanapun, terdapat lebih daripada 3,000 bilik disediakan oleh lebih 75 hotel tidak berlesen,” katanya.

Teo berkata pada 2014, pengendali hotel berlesen boleh menjana pendapatan sebanyak RM230 juta, dengan kadar purata penginapan sehingga 83 peratus dan purata kadar bilik RM255.

Tetapi, dengan pertumbuhan hotel-hotel tidak berlesen ini, beliau berkata kadar purata penginapan untuk hotel berlesen turun kepada 50 peratus dengan purata kadar bilik berkurangan kepada RM170, pengurangan sebanyak RM85 pendapatan dalam setiap bilik.

Teo juga memberi peringatan bahawa pelanggan di hotel tidak berlesen ini terdedah kepada risiko tinggi kerana mereka tidak dilindungi oleh mana-mana liabiliti pihak ketiga sekiranya berlaku kebakaran, kecurian atau kemalangan, manakala pihak berkuasa tempatan perlu berhadapan dengan akibatnya jika kejadian itu berlaku sehingga menyebabkan kematian.

“Hotel berlesen perlu mematuhi keperluan Jabatan Bomba dan Penyelamat, termasuk melengkapkan premis mereka dengan sistem pengesanan kebakaran serta mempunyai langkah-langkah keselamatan,” katanya.

Beliau berkata sekurang-kurangnya 44 lesen perlu diluluskan untuk hotel tiga bintang dan ke atas serta prosesnya mengambil masa minimum 166 hari.

Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang berkata hotel tidak berdaftar di bandar Miri telah diberi tempoh sembilan bulan bagi mendapat lesen sementara daripada MBM untuk beroperasi dengan mematuhi beberapa keperluan keselamatan utama.

“Satu daripada keperluan itu adalah mendapatkan sijil Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memperoleh lesen sementara dan pengendali hotel tidak berlesen perlu mematuhi keperluan lain yang ditetapkan oleh MBM untuk mendapat lesen yang betul,” katanya.

Yii berkata MBM terpaksa mengambil kira beberapa jenis pelawat ke Miri yang lebih suka menginap di hotel bajet yang mana kebanyakannya dikendalikan oleh hotel tidak berlesen, berbanding tinggal di hotel empat atau lima bintang.

Beliau berkata MBM mengadakan pertemuan dengan operator hotel tidak berlesen bulan lepas di sini dan mereka diberitahu untuk mendapatkan lesen atau berdepan dengan tindakan tegas oleh MBM. – Bernama