Hotel Times anjur Bufet Sungkai Ramadan

Hotel Times anjur Bufet Sungkai Ramadan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Hotel Times turut menganjurkan Bufet Sungkai Ramadan yang bermula hari ini hingga hujung bulan Ramadan dengan menyediakan pelbagai hidangan berbuka puasa pada harga yang berpatutan.

Antara hidangan utama yang disajikan termasuk nasi putih, nasi goreng belutak, ayam goreng sos tiram, sotong panggang limau dengan daun pisang, ikan bakar dengan sos, dan kangkung goreng belacan.

Selain itu, sebagai pembuka selera dan pencuci mulut, pelanggan dihidangkan dengan kerabu mangga, sambal belacan dengan ulam, kurma, buah-buahan yang segar, pelbagai jenis kuih, bubur ubi manis dan lain-lain lagi. Tidak ketinggalan juga pilihan minuman fruit punch, air bandung, Nescafe dan teh Tarik.

Sementara itu, tarikan ramai pada bufet berkenaan adalah Stesen Ambuyat dan Stesen Soto, yang mana Stesen Ambuyat menyediakan empat jenis cacah termasuklah cacah Pidada.

Stesen Ambuyat, tarikan ramai bagi bufet Ramadan di Hotel Times.
Stesen Ambuyat, tarikan ramai bagi bufet Ramadan di Hotel Times.
Antara pembuka selera yang disediakan.
Antara pembuka selera yang disediakan.

Sempena bufet sungkai ini, Hotel Times juga menawarkan promosi bagi pelanggan yang datang berkumpulan seramai 10 orang, dengan seorang lagi (11 kesemuanya) boleh menikmati hidangan berbuka puasa secara percuma.

Di samping itu, mereka juga menyediakan bilik persendirian bagi keluarga seramai 20 – 30 orang di mana meja ‘dome-style’ disediakan khusus buat keluarga berkenaan.

Penolong Pengurus Besar Hotel Times, Sheikh Helmi bin Sheikh Haji Abdul Rahman ketika ditemui Media Permata turut memaklumkan bahawa mereka kini juga mempromosikan bilik Standard pada harga yang lebih rendah bermula 1 Jun hingga 5 Julai tahun ini.