Hotspur kempunan lagi

Hotspur kempunan lagi

LONDON, 30 Ogos (AFP) – Tottenham kekal tanpa kemenangan dalam kancah Liga Perdana Inggeris yang baharu bermula musim ini dengan penyerangnya, Harry Kane masih tercari-cari gol sulungnya selepas seri 0-0 dengan Everton, semalam.

Skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu kini terperosok di tangga ke-15 liga dengan hanya tiga kali seri dan tewas sekali kepada Manchester United pada perlawanan pertama pembukaan musim.

Melayan kehadiran Everton di White Hart Lane, Spur masih memburu kemenangan pertama dan nasib juga seperti tidak menyebelahi Kane yang tanpa gol selepas empat perlawanan liga.

Bagi Everton pula, tumpuan kini kepada pemain pertahanannya, John Stones, yang minggu lalu permohonan perpindahannya ditolak dengan Everton masih tidak mahu melepaskannya untuk menyertai Chelsea.

Dalam aksi malam tadi, Stones dilihat bekerja keras terutama pada separuh masa pertama untuk mengekang asakan Tottenham yang mendominasi serangan serta mematahkan ledakan penyerang Nabil Bentaleb yang mendapat umpanan Nacer Chadli.

Pada satu ketika, kecuaian pemain pertahanan kanan Tottenham, Kyle Walker hampir memberikan gol awal Everton apabila Tom Cleverley berjaya mencuri bola namun ledakan kuat berjaya ditampan Hugo Lloris.

Pada minit ke-23 Kane gagal menyempurnakan peluang keemasan untuk membawa Spurs di depan apabila sepakannya yang lemah berjaya dikuis penjaga gol Everton, Tim Howard.

Tidak lama selepas itu, Mason mendapatkan hantaran sempurna Chadli, tetapi rembatan sudut rendah pemain tengah itu berjaya diselamatkan oleh kaki Howard.

Rentak menarik Howard berterusan apabila veteran Amerika itu berjaya menepis tandukan Toby Alderwierweld melepasi palang pada babak pertama.

Everton menerima tamparan sebelum rehat apabila Cleverley diusung keluar untuk apa yang kelihatan seperti mengalami kecederaan buku lali yang serius.