Houston ditenggelami, 28 maut

Houston ditenggelami, 28 maut

HOUSTON, 27 Mei (AFP) – Hujan lebat telah mengakibatkan kebanyakan kawasan di Texas ditenggelami air semalam selepas cuaca buruk mengorbankan kira-kira 28 orang di Amerika Syarikat (AS) dan Mexico, sementara Datuk Bandar Houston memberi amaran bahawa lebih banyak kejadian banjir berbahaya mungkin melanda.

Negeri-negeri selatan AS, Texas, Oklahoma dan utara Mexico, menanggung akibat daripada cuaca buruk beberapa hari termasuklah puting beliung, yang telah mengakibatkan ramai orang terbunuh, hilang dan cedera di kedua-dua sisi sempadan.

Lebih 25 sentimeter turunan hujan dalam tempoh beberapa jam di Houston, bandar Texas, yang mengakibatkan banjir teruk di sana dalam tempoh sekurang-kurangnya sedekad. Beratus-ratus buah kenderaan, sesetengahnya telah ditenggelami air, ditinggalkan di jalan-jalan raya Houston.

Orang ramai terperangkap di dalam kereta mereka, yang lain tidak dapat keluar rumah, ketika ancaman paras air banjir naik di sekitar mereka. Dua orang meninggal dunia semalam disebabkan banjir di bandar itu, menurut Datuk Bandar Annise Parker.

“Saya ingin meminta dan menggesa orang ramai supaya terus selamat dan menyedari kita mungkin menerima lebih banyak turunan hujan lewat hari ini,” katanya, yang menggalakkan para penduduk bandar keempat terbesar Amerika supaya tidak keluar rumah.

Kelihatan beratus-ratus buah kenderaan yang ditinggalkan di tepi jalan akibat banjir melanda Houston, Texas. – AFP
Kelihatan beratus-ratus buah kenderaan yang ditinggalkan di tepi jalan akibat banjir melanda Houston, Texas. – AFP

“Terdapat kereta berselerak merata-rata di bandar,” ujarnya kepada sidang media, dengan menambah kata bahawa krew-krew kecemasan cuba sampai kepada kenderaan yang terbiar untuk melihat jika ada sesiapa yang terperangkap di dalamnya.

Parker memberi amaran bahawa keadaan yang mengancam nyawa mungkin dihadapi oleh penduduk tempatan lagi minggu ini.

“Jika anda berada di kawasan rendah dan kami menjangkakan lebih banyak banjir kilat hujung minggu ini, anda perlu mencari kawasan lebih tinggi. Ia adalah situasi hidup atau mati pada tahap ini.

“Semua sungai sepenuhnya melimpah. Sebarang tambahan turunan hujan, sebanyak-banyaknya seinci atau dua inci, akan sekali lagi berubah menjadi kemungkinan kita akan dalam situasi banjir kilat,” dia memberi amaran.

Kira-kira 200 orang peminat tidak dapat pulang ke rumah mereka beberapa jam selepas menonton perlawanan NBA, selepas air membanjiri arena itu dan beberapa orang tinggal semalam di arena Toyota Center.

Seorang pemain Houston Rockets, iaitu pemain tengah Dwight Howard adalah antara yang terkandas hingga lewat malam selepas mengetahui keadaan jalan raya yang berbahaya.

“Tidak perlu cuba untuk mendesaknya,” Houston Chronicle melaporkannya sebagai berkata.

“Saya kira adalah tidak bijak bagi sesiapa pun untuk cuba keluar dalam keadaan cuaca begini.”

Presiden Barack Obama menyifatkan banjir di Texas ‘teruk’ dan berkata dia telah menawarkan bantuan segera kepada gabenor negeri Greg Abbott.

Pihak berkuasa Texas berkata 13 orang terbunuh di seluruh negeri sesak dalam kejadian ribut hujung minggu, sekurang-kurannya empat daripada mereka di Houston.

Sementara itu kebimbangan terus meningkat memandangkan kira-kira 11 orang masih hilang di Hays County, juga di Texas.