HRT bantu selesaikan masalah menopaus di kalangan wanita

HRT bantu selesaikan masalah menopaus di kalangan wanita

MENOPAUS adalah proses penuaan semula jadi dalam kalangan wanita yang terjadi disebabkan oleh penurunan pengeluaran estrogen sebaik sahaja ovari tidak lagi menghasilkan telur.

Kebanyakan wanita mula mengalami proses menopaus pada usia lewat 40-an atau awal 50-an dan disebabkan jangka hayat wanita yang semakin meningkat, mereka akan menghabiskan kira-kira satu pertiga daripada kehidupan dengan menopaus.

Sudah tentu keadaan ini akan menjejaskan kualiti hidup mereka apabila terpaksa meneruskan rutin dengan simptom akibat kekurangan estrogen yang tidak selesa, di samping mendedahkan mereka kepada risiko masalah kesihatan lain seperti osteoporosis dan penyakit kardiovaskular.

Estrogen adalah hormon wanita yang memainkan peranan utama dalam mengawal dan membina sistem reproduksi wanita termasuk bahagian badan yang terdapat reseptor estrogen seperti hati, otak, tulang dan jantung.

Namun, terdapat segelintir faktor yang mempengaruhi usia permulaan menopaus seperti genetik, pemakanan, senaman, kesihatan, gaya hidup dan latar belakang sosioekonomi. Kemoterapi dan terapi radiasi juga boleh menyebabkan menopuas dan simptomnya, tetapi ia tidak semestinya kekal.

Rasa panas yang merimaskan antara simptom wanita yang menghadapi proses menopaus.
Rasa panas yang merimaskan antara simptom wanita yang menghadapi proses menopaus.

Kekurangan estrogen mengakibatkan simptom menopaus seperti panas yang merimaskan, berpeluh malam, sakit belakang, insomnia, sakit sendi, sakit kepala, berdebar-debar, vagina kering dan pertambahan berat badan.

Selain simptom fizikal berkenaan, menopaus juga menunjukkan simptom psikologikal yang turut mendatangkan kesan kepada segelintir wanita yang mengalami proses penuaan ini seperti murung, emosi sensitif, risau, sukar menumpukan perhatian, mood berubah, rasa terganggu dan kerap alpa.

Simptom menopaus yang berpanjangan boleh menyebabkan kesan buruk pada kesihatan seperti osteoporosis dan sakit jantung. Kebanyakan wanita yang mengalami menopaus didapati kekurangan vitamin D yang meningkatkan kekerapan masalah osteoporosis seterusnya berdepan masalah retak pinggul dalam kalangan wanita berusia lebih 50 tahun.

Terapi penggantian hormon (HRT) dipertimbangkan sebagai rawatan terbaik untuk simptom menopaus kerana ia mengurangkan frekuensi dan tahap teruk ketidakselesaan terbabit.

HRT boleh terjadi dalam bentuk terapi Estrogen-Progestin (EPT) jika wanita berkenaan masih ada rahim, manakala terapi Estrogen (ET) bagi mereka yang menjalani histerektomi (pembedahan membuang rahim).

Ia juga bermatlamat untuk memulihkan tahap hormon wanita bagi membenarkan tubuh mereka berfungsi normal semula dengan menggantikan hormon yang semakin berkurangan apabila mendekati fasa menopaus.

Biasanya, penggantian estrogen menggunakan estradiol yang amat berkesan dalam mengawal simptom yang memuncak dan pencegahan keretakan akibat osteoporosis.

Progestin dydrogesteron yang boleh ditemui dalam kebanyakan rawatan EPT membekalkan kesan bermanfaat khasnya dalam berdepan kesan proliferatif estrogen, mengekalkan kesan bermanfaat estradiol dan mengurangkan tiga risiko penting yang diketahui berkait dengan komponen progesteron rejimen HRT iaitu kanser payudara, strok dan darah beku dalam urat atau venous thromboembolism (VTE).

Dianggarkan 10 peratus wanita dengan menopaus menjalani HRT disebabkan kurang kesedaran mengenai rawatan sebegini. Sepanjang 70 tahun lalu, HRT terus menjadi cara yang berkesan untuk membantu wanita yang mengalami simptom menopaus yang teruk sehingga menjejaskan kehidupan harian mereka.

Hasil kajian menunjukkan secara konsisten manfaat yang meluas dan keupayaan HRT dalam mencontohi kesan fisiologi estrogen manusia seperti mengekalkan pembentukan dan penyerapan semula tulang serta mengurangkan risiko penyakit jantung iskemia.

Oleh itu, HRT berdos rendah boleh menawarkan pilihan rawatan tambahan kepada wanita yang bersesuaian bagi menangani keperluan dan kebimbangan mereka. Estrogen dos rendah didapati mengurangkan bilangan kejadian vasomotor iaitu panas rimas atau berpeluh malam peringkat sederhana hingga teruk serta menurunkan kadar pendarahan yang tidak menentu dan nyeri payudara berbanding dengan individu yang mengambil dos biasa.

Keberkesanan HRT dengan dos rendah ini dibuktikan menerusi kajian terkawal ‘double-blind’ yang menunjukkan pengurangan signifikan rasa panas tahap sederhana hingga teruk dan kekerapannya dalam beberapa minggu pertama rawatan.

Tiada pendarahan dan tompokan darah dikesan pada subjek kajian masing-masing dalam kalangan 91 peratus dan 88 peratus wanita sepanjang 10 hingga 12 bulan rawatan dalam dua kajian tambahan.

Penemuan baru dapat membantu wanita untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat. Mereka akan diberi hak untuk memilih dos yang dapat memberikan manfaat yang sama seperti dos biasa tetapi dengan kesan sampingan yang berkurangan.

ARTIKEL YANG SAMA