HRW tuduh Mesir cabul undang-undang antarabangsa

HRW tuduh Mesir cabul undang-undang antarabangsa

KAHERAH, 22 Sept (AFP) – Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan (HRW) hari ini menuduh ketenteraan Mesir telah ‘mencabuli undang-undang antarabangsa’ melalui pemusnahan besar-besaran ke atas rumah dan pengusiran dalam tempoh dua tahun di sepanjang sempadannya dengan Gaza.

Pada Oktober lalu tentera Mesir membentuk zon luas penampan di bandar sempadan Rafah di utara Semenanjung Sinai, yang menurutnya terowong telah membolehkan para militan dan senjata masuk dari enklaf Palestin.

“Pemusnahan besar kira-kira 3,255 buah bangunan di Rafah untuk menangani ancaman terowong penyeludupan mungkin tidak seimbang dan tidak memenuhi obligasi Mesir di bawah undang-undang hak asasi kemanusiaan antarabangsa atau undang-undang perang,” menurut HRW.

Sejak Julai 2013 ‘ketenteraan sewenang-wenangnya membakar beribu-ribu buah rumah dalam zon penampan yang sebelum ini mempunyai penduduk di sempadan dengan Semenanjung Gaza, yang memusnahkan keseluruhan kawasan berhampiran dan beratus-ratus hektar tanah ladang,” menurut pemerhati hak asasi di New York.

“Memusnahkan rumah dan kawasan berhampiran dan kehidupan adalah contoh biasa tentang bagaimana menggagalkan kempen menangani pemberontakan,” kata Sarah Leah Whitson, ketua HRW bagi Timur Tengah dan Afrika Utara.

Kerajaan Mesir telah gagal memberikan secukupnya bagi kira-kira 3,200 buah keluarga selepas pengusiran mereka dari rumah mereka, menurut HRW, dengan mendakwa mereka telah menerima sedikit amaran tentang pengusiran dan ganti rugi tidak mencukupi.

Dalam satu kenyataan, kerajaan Mesir semalam berkata kempennya di Sinai mematuhi ‘undang-undang hak asasi kemanusiaan antarabangsa’.

Menurutnya para penduduk di sepanjang sempadan telah dibawa berbincang sebelum kerja bermula di zon penampan dan kebanyakan mereka menuntut ganti rugi bagi hartanah mereka.

“Semua ganti rugi bagi hartanah persendirian telah diagih-agihkan kepada penduduk tempatan,” menurut kenyataan kerajaan.

“Selain bandar baru (Rafah Baru) pada masa ini sedang dibina.”