HSBB kini di Sengkurong, Jerudong, Rimba

HSBB kini di Sengkurong, Jerudong, Rimba

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Para pengguna di Sengkurong, Jerudong dan Rimba kini boleh mendapatkan perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) setelah Telekom Brunei Berhad (TelBru), baru-baru ini, siap memasang rangkaian-rangkaian optik gentian baru di kawasan berkenaan.

Sementara itu, kerja-kerja untuk menghubungkan pelanggan-pelanggan persendirian dan perniagaan TelBru kepada rangkaian-rangkaian HSBB kini sedang dilaksanakan, menurut kenyataan TelBru, di sini, hari ini.

HSBB adalah salah satu perkhidmatan yang ditawarkan oleh TelBru kepada pelanggan-pelanggan persendirian dan perniagaan di seluruh negara.

Sejak diperkenalkan pada 2013, terdapat jumlah besar pelanggan yang berminat untuk mempunyai sambungan lebih pantas dan lebih baik yang memenuhi keperluan harian bagi pengalaman Internet pada kualiti tinggi di rumah dan tempat kerja.

Menurut kenyataan itu, sehingga kini TelBru telah menghubungkan lebih dari 31,000 buah rumah dan bangunan perniagaan di kawasan-kawasan termasuk Bandar, Madang, Gadong dan terbaru di Sengkurong, Jerudong dan Rimba kepada rangkaian HSBB.

TelBru terus membuat kemajuan dalam meningkatkan ketersediaan HSBB di seluruh negara dan pada masa yang sama, membawa kesedaran ke kawasan-kawasan baru dan komunitinya menerusi pelbagai saluran pemasaran dan bentuk perhubungan.

TelBru, dalam kenyataannya, memberitahu pada masa ini kerja-kerja pemasangan rangkaian optik gentian sedang dijalankan di Mumong, Seria dan Madewa yang dijangka siap menjelang penghujung tahun ini.

Sementara itu, pada awal 2016, kediaman-kediaman dan perniagaan di Salar, Sungai Liang dan Sungai Taring juga akan mendapat akses kepada rangkaian HSBB TelBru.

Juga dalam peringkat perancangan HSBB ialah kawasan Tutong dan Muara yang menyasarkan 1,600 rumah di Tutong dan 1,300 di Muara.

Menurut TelBru lagi, daripada perspektif menentukan kedudukan, salah satu cabaran untuk menyediakan rangkaian optik gentian ialah salur dalam tanah sedia ada yang kerap perlu diperbaiki sebelum kabel-kabel baru boleh dipasang.

Oleh sebab pemasangan gentian adalah yang permata sejenisnya di Brunei Darussalam, TelBru telah memastikan ia mempunyai sumber-sumber yang betul untuk menyediakan perkhidmatan. Bagi memastikan pemasangan rangkaian dan sambungan berkualiti tinggi secara konsisten, TelBru mengadakan program latihan dan pensijilan, dengan melibatkan konsultan-konsultan Fibre-to-the-Home (FTTH) yang berpengalaman, sementara itu mengambil dan melatih pasukan-pasukan tempatan untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti mereka.

Para pelanggan boleh memeriksa sama ada kawasan mereka tersedia HSBB menerusi Peta Liputan HSBB di laman sesawang www.telbru.com.bn/hsbb-areas yang dikemas kini dari semasa ke semasa.

ARTIKEL YANG SAMA