HSBC: AEC akan cipta kelas pertengahan baru

HSBC: AEC akan cipta kelas pertengahan baru

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) – Perlaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dijangka akan mewujudkan satu kelas menengah baharu di Malaysia, dengan aspirasi yang sangat berbeza daripada generasi sebelum ini.

“Kemunculan kelas ini bukan sahaja akan menuntut lebih banyak perkhidmatan daripada generasi sebelumnya, mereka juga akan menjadi lebih cenderung untuk menjadi penyedia perkhidmatan sejajar dengan perkembangan pasaran buruh,” kata Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia Bhd, Mukhtar Hussain dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk menjadi pintu masuk utama ke ASEAN dan ia telah meningkatkan hubungan dan perdagangan dengan peneraju ekonomi dunia, termasuk China.

“Kerajaan Malaysia juga berminat untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan populasi kelas pertengahan kerana ia dianggap sebagai enjin pertumbuhan ekonomi dan merangsang kepaduan sosial,” katanya.

Sementara itu, menurut Mukhtar, pekerjaan pengeluaran barangan seperti kereta dan pakaian akan digantikan dengan kerja yang mewujudkan lebih banyak produk tidak ketara dalam industri baharu seperti pengkomputeran dan pelancongan.

“Selain daripada manfaat ekonomi yang besar, ia akan mewujudkan pemikiran yang lebih global di kalangan kelas menengah yang bukan sahaja akan memberi kesan kepada cara hidup mereka tetapi juga mempunyai kesan aspirasi kepada golongan muda profesional muda,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA