HSBC-MIDA kerjasama bantu

HSBC-MIDA kerjasama bantu

KUALA LUMPUR, 10 Jun – HSBC Bank Malaysia Bhd dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membantu Malaysia menarik lebih banyak pelaburan global.

HSBC berkata sebagai sebahagian daripada MoU itu, ia akan bekerjasama dengan MIDA untuk menyediakan nasihat dan perkhidmatan perbankan lain kepada syarikat multinasional yang berada di bawah bidang kuasa MIDA dan merancang untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia atau mendapatkan entri ke dalam pasaran.

“Syarikat multinasional ini akan dapat menggunakan kepakaran dan keupayaan perbankan HSBC dalam perdagangan rentas sempadan dan pemudahan pelaburan,” kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini.

HSBC berkata para pelabur juga akan dibantu untuk membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, selain mendapat akses mudah kepada perkhidmatan kewangan yang perlu.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata, usaha yang diambil oleh HSBC untuk bekerjasama dengan lembaga itu dalam menarik pelaburan mencerminkan keyakinannya terhadap Malaysia sebagai lokasi pelaburan menguntungkan.

“Dengan MoU ini, kami berharap dapat menerima lebih banyak pelaburan daripada rangkaian global HSBC.

“Ia juga adalah langkah penting ke arah memastikan kemajuan ekonomi mampan kerana ia melengkapkan matlamat MIDA untuk merangsang persekitaran pelaburan efektif di Malaysia,” katanya.

Azman berkata HSBC Malaysia dapat menyediakan pelabur dengan bimbingan dan kepakaran perbankan yang diperlukan untuk berkembang atau memasuki Malaysia. Malaysia adalah destinasi utama bagi syarikat multinasional yang mahu melabur di rantau ASEAN. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA